PAS hilang kompas moral dan nilai Islam


PERMOHONAN maaf oleh Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Taiping semalam menunjukkan PAS sudah hilang kompas moral dalam perjuangannya. 

Permohonan maaf ini adalah sebaik kemenangan kes buat perdana menteri yang mengetepikan fitnah liar oleh Razman terhadap Anwar berhubung dakwaan beliau membawa agenda LGBT.

Permohonan maaf ini mempunyai signifikan besar dalam politik negara kerana dakwaan tersebut dijadikan bahan kempen oleh PAS dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu yang menyaksikan berlakunya gelombang hijau. 

Ramai penganalisis politik berpendapat gelombang hijau ini bertitik tolak daripada kempen-kempen fitnah sebegini, termasuk dakwaan Pakatan Harapan (PH) menyokong agenda komunis dan Anwar ada hubungan dengan Israel. 

Dakwaan sebegini ternyata palsu apabila Anwar membawa agenda Madani dalam kerangka pentadbirannya. 

Dengan permohonan maaf ini, ia bukan isu peribadi, tetapi isu kepartian kerana fitnah LGBT ini dijadikan bahan kempen PAS dan PN dalam PRU15 lalu. 

Oleh itu, jelas PAS dan PN menang di kerusi-kerusi majoriti Melayu atas kempen fitnah dan pembohongan. 

Dari segi moral, adakah kemenangan PAS dan PN di 74 kerusi dalam PRU15 lalu sah? 

Permohonan maaf ini perlu diambil iktibar oleh orang Melayu bahawa kempen PAS dan PN adalah dibuat dengan menunggang isu kaum dan agama, yang mana ia fitnah semata-mata. 

Jelas, fitnah yang dibawa PAS ini menyimpang jauh daripada Islam. PAS kini bukan sahaja hilang kompas moral, tetapi juga nilai Islam. – 10 Februari 2023. 

* Faiz Fadzil, ahli Jawatankuasa Amanah Nasional.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen