Tengku Zafrul kata tiada apa perlu disembunyi, sedia beri kerjasama siasatan SPRM


Bekas menteri kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata beliau sedia memberi kerjasama memberi keterangan jika dipanggil SPRM berkaitan kes Jana Wibawa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2023.

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata beliau akan memberi kerjasama sekiranya dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan program Jana Wibawa.

Menerusi Twitternya, beliau yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata beliau tiada perkara yang hendak disembunyikan.

“Kerjasama penuh akan saya berikan. Ada media tanya saya mengenai Jana Wibawa. Tiada apa yang perlu disembunyikan dan saya sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian,” katanya yang merupakan menteri kewangan dalam pentadbiran Perikatan Nasional sebelum ini.

Semalam, Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagon memberitahu media yang beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berkaitan skandal Jana Wibawa tetapi menafikan yang beliau adalah suspek siastana.

Beliau berkata keterangan yang diberikan adalah berkaitan dengan proses penganugerahan kontrak berkaitan Jana Wibawa.

“Ia tiada kena mengena dengan dakwaan oleh perdana menteri sekarang yang melibatkan berbilion-bilion,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau menjelaskan kepada SPRM mengenai peranan perdana menteri dalam skim Jana Wibawa adalah mengesyorkan nama kontraktor untuk kelulusan Kementerian Kewangan (MoF).

“Jana Wibawa adalah satu skim yang dicadangkan oleh menteri kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, untuk membantu kontraktor Bumiputera seperti semasa pandemik Covid-19. Ramai daripada mereka terpaksa tutup (perniagaan).

“Hanya Kementerian Kewangan mempunyai kuasa untuk meluluskan dan memilih syarikat, manakala Pejabat Perdana Menteri (PMO) terlibat untuk mencadangkan nama syarikat. Tetapi kuasa kelulusan bukan dengan PMO,” katanya.

Bagaimanapun, awal hari ini, akhbar New Straits Times melaporkan yang Muhyiddin adalah suspek siasatan berdasarkan sumber SPRM.

Rabu lepas Putrajaya mengumumkan ia menangguhkan projek pembangunan luar bandar bernilai RM5.7 bilion di bawah skim Jana Wibawa sementara menunggu semakan semula sama ada kontrak diberikan mematuhi prosedur sedia ada.

“Projek itu telah diberikan surat setuju terima (SST), dasar Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku menteri kewangan ialah bagi melihat semula sama ada tatacara perolehan dan tata kelola sesuatu perbelanjaan yang dikeluarkan mengikut peraturan ditetapkan,” kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita takkan berkompromi dari segi pelaksanaan terutama jeda waktu dan akan berikan keutamaan di kawasan terjejas banjir seperti jambatan runtuh, rumah terjejas dan minta pegawai kementerian dan agensi melaksanakannya dengan segera,” tambahnya.  – 19 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen