Projek Jana Wibawa ditangguh sementara, kata Zahid


Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata penangguhan projek Jana Wibawa itu diarahkan Kementerian Kewangan bagi meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan perbendaharaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari 2023.

KEMENTERIAN Kewangan mengarahkan projek Jana Wibawa ditangguh pelaksanaannya bagi meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan perbendaharaan, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata penangguhan projek yang melibatkan nilai RM5.7 bilion itu kerana terdapat unsur kaedah perolehan dibuat secara tender terpilih atau runding terus.

“Projek itu telah diberikan surat setuju terima (SST), dasar Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku menteri kewangan ialah bagi melihat semula sama ada tatacara perolehan dan tata kelola sesuatu perbelanjaan yang dikeluarkan mengikut peraturan ditetapkan,” katanya ketika sidang media di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Zahid berkata kementeriannya mengambil ketetapan agar tatacara perolehan diikuti sepenuhnya termasuk membuka tender-tender supaya projek itu dilaksanakan selepas proses tender disempurnakan.

Sementara itu, beliau berkata KKDW tidak akan berkompromi terhadap pelaksanaan insfrastruktur di luar bandar terutama di kawasan terjejas banjir termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kita takkan berkompromi dari segi pelaksanaan terutama jeda waktu dan akan berikan keutamaan di kawasan terjejas banjir seperti jambatan runtuh, rumah terjejas dan minta pegawai kementerian dan agensi melaksanakannya dengan segera,” katanya.

Beliau berkata KKDW juga berharap kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kementerian bagi memastikan setiap projek pembangunan dirancang berjalan mengikut garis panduan dan waktu ditetapkan. – Bernama, 15 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen