Muhyiddin suspek, Tengku Zafrul akan dipanggil SPRM, lapor media


Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin adalah suspek dalam skandal Jana Wibawa, kata sumber SPRM dilapor media. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2023.

MUHYIDDIN Yassin adalah suspek dan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sedang disiasat berkaitan kes Jana Wibawa, lapor akhbar New Straits Times yang memetic sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber turut dipetik berkata yang bekas perdana menteri itu sepatutnya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat andaian kerana ia boleh menganggu siasatan yang sedang berlangsung.

“Siasatan sedang dijalankan ke atas beberapa individu termasuk bekas menteri kewangan.

“Bekas menteri kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz juga akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” kata sumber dipetik berkata.

Semalam, Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagon memberitahu media yang beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berkaitan skandal Jana Wibawa tetapi menafikan yang beliau adalah suspek siastana.

Beliau berkata keterangan yang diberikan adalah berkaitan dengan proses penganugerahan kontrak berkaitan Jana Wibawa.

“Ia tiada kena mengena dengan dakwaan oleh perdana menteri sekarang yang melibatkan berbilion-bilion,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau menjelaskan kepada SPRM mengenai peranan perdana menteri dalam skim Jana Wibawa adalah mengesyorkan nama kontraktor untuk kelulusan Kementerian Kewangan (MoF).

“Jana Wibawa adalah satu skim yang dicadangkan oleh menteri kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, untuk membantu kontraktor Bumiputera seperti semasa pandemik Covid-19. Ramai daripada mereka terpaksa tutup (perniagaan).

“Hanya Kementerian Kewangan mempunyai kuasa untuk meluluskan dan memilih syarikat, manakala Pejabat Perdana Menteri (PMO) terlibat untuk mencadangkan nama syarikat. Tetapi kuasa kelulusan bukan dengan PMO,” katanya.

Rabu lepas Putrajaya mengumumkan ia menangguhkan projek pembangunan luar bandar bernilai RM5.7 bilion di bawah skim Jana Wibawa sementara menunggu semakan semula sama ada kontrak diberikan mematuhi prosedur sedia ada.

“Projek itu telah diberikan surat setuju terima (SST), dasar Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku menteri kewangan ialah bagi melihat semula sama ada tatacara perolehan dan tata kelola sesuatu perbelanjaan yang dikeluarkan mengikut peraturan ditetapkan,” kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita takkan berkompromi dari segi pelaksanaan terutama jeda waktu dan akan berikan keutamaan di kawasan terjejas banjir seperti jambatan runtuh, rumah terjejas dan minta pegawai kementerian dan agensi melaksanakannya dengan segera,” tambahnya.  – 19 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen