PEKERJA yang diambil bekerja oleh kontraktor berkhidmat kepada kerajaan diketepikan daripada skim gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa pada Mei 2022, kata mereka.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight ini kerana kontrak majikan mereka dengan kerajaan tidak mengambil kira kenaikan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500.
Justeru, mereka mahu kerajaan mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah ini agar mereka – yang kebanyakannya daripada kumpulan B40 yang diupah untuk melakukan kerja penyelenggaraan dan sokongan kepada kerajaan – tidak terus menderita.
Salah seorang pekerja yang terjejas, pengawal keselamatan berusia 42 tahun di sebuah sekolah di Klang yang berkata dia tidak mempunyai jawapan konkrit daripada majikannya mengenai perkara itu.
“Sebelum pandemik Covid-19, saya hanya melakukan kerja sampingan tetapi pada 2022 apabila keadaan mula pulih, saya mendapat kerja ini sebagai pengawal keselamatan. Saya diberitahu akan mendapat RM1,200 sebulan.
“Kemudian kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 tetapi saya masih mendapat gaji yang sama. Apabila saya bertanya, majikan saya kata mereka sedang mengusahakannya. Sudah beberapa bulan tetapi tiada jawapan yang jelas,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Halim.
“Saya harap kerajaan akan mendengar suara kami. Saya hanya pekerja kontrak. Tetapi saya rasa saya layak menerima gaji yang sama seperti orang lain,” tambahnya.
Preema, seorang tukang cuci berusia 49 tahun di sebuah hospital kerajaan di Selangor, berkata beliau menaruh harapan tinggi kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mencari penyelesaian untuk mereka.
“Sebagai pekerja kontrak sudah tentu saya rasa kita semua layak menerima gaji minimum RM1,500. Majikan saya berkata bahawa kami akan mendapat gaji asas baharu setelah semuanya diselesaikan tetapi tidak ada petunjuk jelas bila ia akan berlaku.
“Semoga dengan bantahan di Putrajaya baru-baru ini, PM kita boleh lakukan sesuatu untuk membantu kita. Saya percaya dia boleh membuat perubahan,” kata ibu kepada dua anak itu.
Baru-baru ini sekumpulan pekerja kontrak mengadakan protes di Putrajaya di luar Pejabat Perdana Menteri, merayu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk campur tangan.
Tidak adil minta majikan bayar dahulu
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia A.Sivarajan berkata kerajaan perlu mengambil langkah proaktif untuk menangani perkara itu daripada menyerahkan wang kepada jabatan buruh.
Beliau berkata PSM telah menerima banyak aduan daripada pekerja kontrak di seluruh negara mengenai isu itu tetapi masih belum menerima maklum balas konkrit daripada kerajaan apabila didesak.
Sivarajan berkata kerajaan sepatutnya dapat menangani isu itu kerana negara telah dua kali menaikkan gaji minimum daripada RM1,100 kepada RM1,200, dan kini kepada RM1,500.
“Putrajaya sepatutnya seragamkan kontrak kerajaan. Majikan memberitahu kami bahawa mereka tidak boleh membayar RM1,500 kerana kontrak mereka tidak diseragamkan.
“Apabila kami mendesak kementerian yang bertanggungjawab mengambil syarikat itu, mereka berkata syarikat itu perlu membayar terlebih dahulu dan membuat tuntutan lain kemudian.
“Tetapi kita tahu sebenarnya syarikat yang diupah kerajaan ini tidak mempunyai sokongan kewangan yang kukuh untuk menggunakan wang mereka sendiri untuk membayar pekerja sebelum membuat tuntutan.
“Akhirnya, pekerja diberitahu untuk membuat aduan kepada jabatan buruh. Tetapi isunya bukan dengan hanya satu atau dua syarikat, terdapat banyak syarikat di luar sana yang tidak dapat membayar pekerja gaji minimum.
“Sebab itu kami menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan untuk melihat isu ini dengan serius,” kata Sivaraja. – 11 Februari, 2023.
Komen