Disney buang 7,000 pekerja


Pelanggan Disney+ turun 1% kepada 161.8 juta pelanggan pada 31 Disember 2022. – Gambar AFP, 9 Februari 2023.

GERGASI hiburan Amerika Syarikat (AS) Disney akan memberhentikan 7,000 pekerjanya, selepas ketua pegawai eksekutifnya Bob Iger umum penstrukturan semula syarikat itu.

Keputusan itu dibuat sebagai tindak balas kepada pertumbuhan pelanggan yang perlahan dan peningkatan persaingan penonton penstriman.

“Bukan mudah untuk saya buat keputusan ini,” kata Iger kepada penganalisis selepas Disney mencatatkan pendapatan suku tahunan terbarunya. 

“Kami akan melihat dengan teliti kos untuk semua tindakan kami, baik televisyen mahupun filem.

“Kerana dunia sekarang sangat kompetitif,” tambahnya.

Dalam laporan tahunan 2021, Disney berkata ia menggaji 190,000 pekerja di seluruh dunia, dengan 80% daripada jumlah itu adalah kakitangan sepenuh masa. 

Syarikat yang diasaskan oleh Walt Disney itu berkata perkhidmatan jumlah pelanggan penstrimannya mula menyusut pada suku pertama tahun lepas apabila pengguna mengurangkan perbelanjaan.

Pelanggan Disney+, saingan kepada Netflix, turun 1% kepada 161.8 juta pelanggan pada 31 Disember 2022, berbanding tiga bulan sebelumnya. 

Penganalisis secara umumnya menjangkakan penurunan itu, dan harga saham Disney meningkat lebih daripada 5% dalam pasca sesi dagangan. 

Disney selain itu juga akan meneliti jumlah kandungan dan harga perkhidmatan penstrimannya, kata Iger kepada penganalisis. 

“Kami sedang berusaha untuk meningkatkan jumlah pelanggan.

“Mungkin terlalu agresif dari segi promosi dan kami akan mengkaji perkara itu,” katanya. – AFP, 9 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen