KERAJAAN menangguhkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja sehingga Julai tahun depan, umum Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.
Pelaksanaan gaji minimum baharu itu sepatutnya mula berkuatkuasa 1 Januari.
Sivakumar dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan membuat keputusan itu selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan yang dijangka menghadapi cabaran ekonomi serta kewangan pada tahun depan.
“Penangguhan tambahan selama enam bulan ini juga diharap dapat memberikan peluang untuk menyelaras dan mengimbangi keperluan kewangan yang sedikit sebanyak akan membantu memulihkan kedudukan ekonomi syarikat yang menggajikan kurang daripada lima pekerja.
“Kementerian Sumber Manusia berharap penangguhan ini diterima baik oleh semua pihak,” katanya.
Kerajaan sebelum ini menetapkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuatkuasa 1 Mei untuk semua sektor wilayah bagi majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih.
Bagi majikan yang menggajikan kurang dari lima orang pekerja pula mereka diberi pengecualian, dan pelaksanaan gaji minimum itu berkuat kuasa 1 Januari 2023.
Sivakumar dalam pada itu berkata majikan yang mempunyai lima pekerja atau lebih masih perlu meneruskan pembayaran gaji minimum sebanyak RM1,500 bermula 1 Mei lalu, seperti yang ditetapkan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO).
Dua hari lalu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman dilapor media berkata pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 tidak boleh dibuat dalam tempoh terdekat supaya majikan lebih bersedia.
Menurut beliau, majikan di seluruh negara sudah menanggung kos tambahan sebanyak RM14 bilion setahun apabila kadar gaji minimum, dinaikkan daripada RM1,200 sebulan kepada RM1,500 sebulan.
Pelaksanaan dan perubahan mendadak gaji minimum akan mengakibatkan majikan menanggung kos operasi lebih tinggi, katanya.. – 27 Disember, 2022.
Komen