MTUC gesa kerajaan selesai isu pekerja diberhenti tanpa pampasan


MTUC mahu Kementerian Sumber Manusia ambil perhatian isu pemberhentian pekerja tanpa pampasan itu.

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia untuk menyelesaikan isu 680 pekerja di sebuah syarikat penghantaran yang diberhentikan tanpa menerima sebarang pampasan.

Setiausaha Agungnya Kamarul Baharin Mansor turut meluahkan rasa kesal terhadap perkara berkenaan setelah mengetahui sebahagian daripada mereka merupakan golongan B40 dan bekerja hampir 30 tahun di syarikat tersebut namun diberhentikan tanpa sebarang pampasan.

Katanya syarikat itu kini dalam proses penggulungan dan disebabkan itu pekerja-pekerja di syarikat berkenaan akan diberhentikan secara berperingkat bermula esok hingga 24 Januari depan.

“Sepatutnya apabila penutupan syarikat dibuat, mereka perlu membuat perkiraan tentang faedah penamatan perkhidmatan tapi banyak syarikat tidak membuat demikian dan tidak mempedulikan nasib pekerja,” katanya kepada pemberita di hadapan pejabat Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor, di Shah Alam hari ini.

Sementara itu, wakil pekerja daripada syarikat penghantaran terbabit, Mohd Hezri Rusli, 42 meluahkan kekesalannya selepas menerima notis berhenti kerja pada 1 Disember lepas namun tiada makluman tentang pembayaran pampasan.

Beliau yang bekerja sebagai pemandu lori selama 10 tahun di syarikat berkenaan berasa buntu memikirkan tentang apa yang bakal ditempuhinya di kemudian hari selepas diberhentikan dalam tempoh yang singkat.

“Kami tuntut pampasan yang setimpal mengikut tempoh perkhidmatan sebab ada yang bekerja 20 tahun, 30 tahun dan sejak syarikat dibuka. Memang kami buntu sekarang ini dengan pemberian notis dalam masa singkat, ada komitmen yang perlu dibayar, susahlah,” katanya. – Bernama, 21 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen