Umno mesti teruskan pemilihan presiden, timbalan, kata pemimpin muda


Diyana Ibrahim

Sebagai parti yang demokratik, Umno perlu mengambil kira semua pandangan ahlinya, kata Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Wan Agyl Wan Hassan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2022.

UMNO mesti meneruskan pemilihan presiden dan timbalan presiden jika itu kehendak dan suara daripada akar umbi parti, kata pemimpin muda Umno.

Tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti itu bermakna mengetepikan kehendak ahli-ahli Umno, walaupun suara yang berkehendakkan pemilihan itu tidak mewakili seluruh parti, kata mereka.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Wan Agyl Wan Hassan berkata sebagai parti yang demokratik, Umno perlu mengambil kira semua pandangan ahlinya.

“Dari segi pemilihan kena ada pertandingan sebab Umno parti yang demokratik walaupun ia mungkin bukan suara yang mewakili keseluruhan. Kita kena adakan (pemilihan) juga jika itu adalah kehendak mereka.

“Begitu juga, kalau mana-mana ahli akar umbi bawa satu usul jawatan tertinggi tidak dipertandingkan, sama juga… kita tidak boleh nak halang juga, kerana itu hak dan kebebasan ahli (untuk suarakan), asalkan ia dipersetujui majoriti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Veteran Umno Mohamed Nazri Aziz sebelum itu mengingatkan Umno supaya tidak menyekat pemilihan parti sebaliknya membenarkan pertandingan bagi semua jawatan termasuk presiden dan timbalan presiden.

Katanya, Umno akan jadi parti tidak demokratik sekiranya pertandingan jawatan parti tidak dibuka, terutama selepas prestasi buruk parti pada pilihan raya umum yang lepas.

Nazri mengulas cadangan sekurang-kurangnya tiga pemimpin bahagian Umno yang mahu jawatan presiden dan timbalan presiden tidak mempertandingkan atas alasan untuk tidak menggugat kestabilan parti.

Mohamed Nazri Aziz, Umno akan jadi parti tidak demokratik sekiranya pertandingan jawatan parti tidak dibuka, terutama selepas prestasi buruk parti pada pilihan raya umum yang lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2022.

Menurut Wan Agyl, secara peribadi beliau menyokong kenyataan Nazri.

Katanya, pemilihan Umno, yang perlu diadakan sebelum pertengahan 2023, perlu dilihat dalam konteks prestasi parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Secara peribadi saya nak lihat semua jawatan dipertandingkan sebab kita sudah tengok keputusan PRU15 yang tidak boleh dibanggakan walhal kita harap sepatutnya ia lebih baik, tapi banyak yang hilang (kerusi).

“Sama ada kepimpinan PRU15 itu berfungsi atau tidak atau ada pandangan berbeza kata ia tidak cukup baik, jadi itulah kewajaran apabila setiap jawatan itu dipertandingkan.

“Sebab itu kita kena lihat secara majoriti dan jangan halang apa-apa yang nak dibawa akar umbi,” katanya.

Wan Agyl bagaimanapun tidak menganggap mereka yang mencadangkan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan sebagai membodek.

Katanya, pandangan itu hanya persepsi politik semata-mata.

Semalam, Ketua Puteri Umno Ledang Nadhirah Afiqah berkata cadangan supaya jawatan tertinggi Umno tidak diadakan pemilihan hanyalah usaha membodek kepimpinan tertinggi parti.

Malah ia juga memperlekehkan kebolehan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berjaya membawa parti jadi sebahagian daripada kerajaan walaupun hanya menang 26 kerusi pada PRU15.

Nadhirah menjelaskan kepada The Malaysian Insight, kenyataannya itu hanya untuk mempertahankan suara dan hak akar umbi yang mahu pemilihan diadakan.

Cadangan supaya jawatan tertinggi Umno tidak diadakan pemilihan memperlekehkan kebolehan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, kata Ketua Puteri Umno Ledang Nadhirah Afiqah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2022.

Alasan beliau, kalau sebelum ini pimpinan Umno menggesa PRU15 diadakan segera untuk mengembalikan mandat kepada rakyat, kenapa pendirian sama tidak dilakukan dalam soal pemilihan parti.

“Kalau tidak ada pertandingan presiden atau timbalan presiden lebih baik tak perlu ada pemilihan parti.

“Nak tak nak memang perlu ada pemilihan, sebab ini yang akar umbi perlukan.

“Sama macam pilihan raya umum, rakyat mempunyai hak untuk mengundi pilih kerajaan yang mereka nak. Umno juga sama… mereka  perlu kembalikan hak memilih kepada ahli, barulah dipanggil amalan demokrasi,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata pucuk pimpinan parti belum lagi memutuskan kedudukan jawatan presiden dan timbalan presiden sama ada dipertandingkan atau tidak.

Katanya, perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno yang akan bermesyuarat pada 12 Januari ini.

Cadangan tiada pertandingan itu mula dilontarkan awal bulan ini oleh Ketua Umno Beruas Azhar Ahmad sebelum disambut oleh Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunus.

Azhar memberi alasan Ahmad Zahid dan timbalannya Mohamad Hasan kini sudah menjadi menteri dalam kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kedudukan mereka dalam parti tidak perlu digugat.

Jamal pula berpendapat Umno masih rapuh dan tidak stabil, yang dikhuatiri akan lebih parah sekiranya ada pertandingan jawatan parti.

Minggu lalu, Timbalan Ketua Umno Pasir Salak Khairul Azwan Harun pula mencadangkan supaya Ahmad Zahid dikekalkan sebagai presiden Umno bagi menjayakan gandingan kepimpinan tertinggi kerajaan perpaduan. – 28 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen