Umno masih rapuh, tidak perlu tanding presiden dan timbalan, kata Jamal Yunus


Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunus menyuarakan cadangan supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan atas alasan keadaan dalaman Umno belum stabil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2022.

SEORANG lagi ketua bahagian Umno mencadangkan supaya dua jawatan tertinggi parti iaitu presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang perlu diadakan sebelum pertengahan tahun depan.

Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunus menyuarakan cadangan itu atas alasan keadaan dalaman Umno belum stabil.

“Saya menyarankan supaya usul dibuat dalam perhimpunan agung Umno pada Januari ini, jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

“Kerana Umno masih lagi dalam keadaan rapuh dan tidak stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyifatkan gerakan menukar presiden Umno dibuat oleh pemimpin parti yang kalah pilihan raya, sama seperti yang berlaku selepas pilihan raya umum 2018.

“Walaupun Umno mengamalkan sistem demokrasi tetapi apa yang berlaku yang kalah tidak dapat menerima kekalahan dan melakukan gerakan agar yang menang didesak untuk meletakkan jawatan seperti apa yang berlaku sebelum pemilihan pada tahun 2018,” tambahnya.

Kenyataan Jamal dibuat tiga hari selepas Ketua Umno Beruas Azhar Ahmad membuat gesaan sama dengan alasan Umno sekarang sebahagian daripada kerajaan.

Dalam satu wawancara dengan The Malaysia Post, Azhar berkata presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan sekarang memegang jawatan kanan dalam jemaah menteri.

Ahmad Zahid dilantik timbalan perdana menteri dan menteri pembangunan desa dan wilayah sementara Mohamad jadi menteri pertahanan.

“Biarkan Datuk Seri Zahid sebagai presiden, timbalan perdana menteri Malaysia, menang tanpa bertanding. Begitu juga dengan timbalan presiden (Mohamad). Dia timbalan presiden yang memegang jawatan penting.

“Buat apa kita nak bertanding?” katanya, dalam wawancara itu yang rakamannya dimuat naik di TikTok.

https://vt.tiktok.com/ZS8L4wojL/

Mandat barisan kepimpinan Umno sekarang sepatutnya berakhir Julai 2021 tetapi dilanjutkan untuk tempoh sehingga enam bulan selepas pilihan raya umum.

Umno menangguhkan pemilihan itu selepas ia meminda perlembagaan parti pada perhimpunan agung khas, Mei 2022.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pelbagai pihak mendesak Ahmad Zahid letak jawatan presiden parti untuk mengambil tanggungjawab atas prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN).

Antaranya termasuk komponen BN iaitu MCA dan MIC yang secara terbuka menyatakan mereka hilang kepercayaan kepada Ahmad Zahid.

BN menang 30 kerusi daripada keseluruhan 179 kerusi yang ditandingi. Umno menang 26 daripada 30 kerusi itu.

Beberapa menteri Umno dalam pentadbiran lepas juga kalah, antaranya naib presiden Mahdzir Khalid (Padang Terap), Khairy Jamaluddin (Sungai Buloh), dan Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas).

BN juga tidak mempunyai wakil di Dewan Rakyat dari tujuh negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor, dan Melaka. – 11 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen