Tidak tanding presiden, timbalan cadangan membodek, kata Puteri Umno Ledang


CADANGAN supaya dua jawatan tertinggi Umno iaitu presiden dan timbalannya tidak dipertandingkan tidak mewakili suara seluruh ahli parti, kata Ketua Puteri Umno Ledang Nadhirah Afiqah.

Cadangan itu sebaliknya hanyalah usaha membodek kepimpinan tertinggi parti, katanya.

“Kenyataan yang dikeluarkan ini tidak lain tidak bukan hanyalah satu tindakan membodek kepimpinan tertinggi Umno.

“(Ia) ternyata bukanlah pendirian lebih 3 juta ahli Umno di seluruh negara yang mahu melihat demokrasi dalam Umno dihidup dan disuburkan semula selepas penangguhan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan sebelum ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Nadhirah, pemilihan Umno sebelum ini ditangguhkan untuk mengelak parti berpecah menjelang PRU15.

“Justeru usai PRU15 seharusnya proses demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan Umno ini dihormati dan dipatuhi,” tambahnya.

Malah beliau melihat cadangan jawatan presiden tidak dipertandingan hanya memperlekehkan kebolehan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berjaya membawa parti jadi sebahagian daripada kerajaan walaupun hanya menang 26 kerusi pada pilihan raya umum lepas.

Nadhirah mengulas ura-ura ada usul akan dibawa ke Perhimpunan Agung Umno bulan depan agar beberapa jawatan utama tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang perlu diadakan sebelum pertengahan tahun.

Awal hari ini, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata pucuk pimpinan parti belum lagi memutuskan kedudukan jawatan presiden dan timbalan presiden sama ada dipertandingkan atau tidak.

Katanya, perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno yang akan bermesyuarat pada 12 Januari ini.

Cadangan tiada pertandingan itu mula dilontarkan awal bulan ini oleh Ketua Umno Beruas Azhar Ahmad sebelum disambut oleh Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunus.

Azhar memberi alasan Ahmad Zahid dan timbalannya Mohamad Hasan kini sudah menjadi menteri dalam kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kedudukan mereka dalam parti tidak perlu digugat.

Jamal pula berpendapat Umno masih rapuh dan tidak stabil, yang dikhuatiri akan lebih parah sekiranya ada pertandingan jawatan parti.

Minggu lalu, Timbalan Ketua Umno Pasir Salak Khairul Azwan Harun pula mencadangkan supaya Ahmad Zahid dikekalkan sebagai presiden Umno bagi menjayakan gandingan kepimpinan tertinggi kerajaan perpaduan.

Veteran Umno Mohamed Nazri Aziz bagaimanapun berpandangan Umno akan jadi parti tidak demokratik sekiranya pertandingan jawatan parti tidak dibuka.

“Kita sepatutnya bergerak ke depan bukan ke belakang dengan cadangan-cadangan lapuk yang langsung tidak menggambarkan Umno sebuah parti yang menjunjung amalan demokrasi.

“Sekiranya benar ada usaha untuk menghalang pemilihan jawatan tertentu dalam parti nampaknya Umno semakin hilang arah dan identiti perjuangan,” katanya kepada Astro Awani.

Bekas Ahli Parlimen Padang Rengas malah menyifatkan cadangan itu satu lagi episod hitam Umno selepas prestasi buruk pada PRU15. – 26 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen