Tidak perlu tanding jawatan presiden, timbalan, kata ketua Umno Beruas


Ketua Umno Beruas Azhar Ahmad berkata tidak mempertandingkan jawatan tertinggi Umno juga sebahagian daripada amalan demokrasi.– Gambar Facebook, 9 Disember, 2022.

KETUA Umno Beruas Azhar Ahmad mencadangkan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun depan sebaliknya perlu diperkasakan kerana parti sekarang sudah sebahagian daripada kerajaan.

Dalam satu wawancara dengan portal The Malaysia Post, Azhar berkata Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hassan perlu dikekalkan sebagai presiden dan timbalan presiden parti kerana mereka juga kini memegang jawatan kanan dalam jemaah menteri.

“Kalau tanya saya, pada masa ini, suasana ini, Umno telah diberi peranan penting dalam kerajaan Anwar Ibrahim. Saya rasa biarkan (jawatan) presiden ini berjalan.

“Biarkan Datuk Seri Zahid sebagai presiden, timbalan perdana menteri Malaysia, menang tanpa bertanding. Begitu juga dengan timbalan presiden (Mohamad). Dia timbalan presiden yang memegang jawatan penting.

“Buat apa kita nak bertanding?” katanya, dalam wawancara itu yang rakamannya dimuat naik di TikTok.

Selain timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid juga menteri pembangunan desa dan wilayah dalam kabinet Anwar Ibrahim. Kementerian itu disatukan daripada portfolio pembangunan luar bandar dan wilayah persekutuan.

Sementara itu, Mohamad, yang juga Ahli Parlimen Rembau, dilantik menteri pertahanan.

Tidak bertanding juga demokrasi

Azhar menjelaskan tidak mempertandingkan jawatan tertinggi Umno juga sebahagian daripada amalan demokrasi.

“Kalau kita boleh berunding, bermusyawarah, berpakat elok-elok, itu demokrasi…bertanding, bercempera, berperang itu juga demokrasi.

“Jadi terserah…perahu sudah di air, dayung sudah di tangan.

“Kalau kita hendak berperang, kita berperanglah. Berceramuk lagi Umno, berpecah lagi Umno,” katanya.

Menurut Azhar, beliau bukannya mahu memperlecehkan mana-mana pihak dalam Umno yang mahu bertanding jawatan tertinggi parti itu, yang tentunya dibuat dengan hasrat mahu mengubah parti dan sebagainya.

“Nak bertanding silakan, tetapi tujuannya apa?... Hari ini kita sebahagian daripada kerajaan,” katanya, sambil menegaskan pandangannya datang dari suara hati yang ikhlas.

Mandat barisan kepimpinan Umno sekarang sepatutnya berakhir Julai 2021 tetapi dilanjutkan untuk tempoh sehingga enam bulan selepas pilihan raya umum.

Umno menangguhkan pemilihan itu selepas ia meminda perlembagaan parti pada perhimpunan agung khas, Mei 2022.

Perkasakan timbalan perdana menteri

Menurut Azhar, Umno perlu membantu Ahmad Zahid untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai timbalan perdana menteri.

“Umno sudah jadi timbalan perdana menteri. Kita kena perkasakan jawatan timbalan perdana menteri, selangkah lagi jadi perdana menteri… selangkah saja lagi.

“Kita kena tengok, walau hati sakit macam mana, kita kena lihat pada parti kita. Yang kita hendak sakit hati sangat pasal apa?

“Saya rasa biarkan Datuk Zahid buktikan yang parti ini akan pulih. Kalau kita beramuk sesama sendiri, parti ini tak akan ke mana,” katanya.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pelbagai pihak mendesak Ahmad Zahid letak jawatan presiden parti untuk mengambil tanggungjawab atas prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN).

Antaranya termasuk komponen BN iaitu MCA dan MIC yang secara terbuka menyatakan mereka hilang kepercayaan kepada Ahmad Zahid.

BN menang 30 kerusi daripada keseluruhan 179 kerusi yang ditandingi. Umno menang 26 daripada 30 kerusi itu.

Beberapa menteri Umno dalam pentadbiran lepas juga kalah, antaranya naib presiden Mahdzir Khalid (Padang Terap), Khairy Jamaluddin (Sungai Buloh), dan Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas).

BN juga tidak mempunyai wakil di Dewan Rakyat dari tujuh negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor, dan Melaka.

Pada PRU15, Azhar menolak daripada jadi calon biarpun Umno Beruas secara tradisi bertanding kerusi dewan undangan negeri Pengkalan Baharu.

Beliau mengumumkan keputusannya pada 19 Oktober, lebih kurang seminggu selepas Parlimen bubar. – 9 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen