HARI ini setahun lalu, penduduk di Taman Seri Muda, Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya terperangkap susulan banjir kilat yang melanda perumahan mereka.
Akibatnya, penganut beragama Kristian di kawasan ini terpaksa melupakan terus hasrat untuk menyambut perayaan Hari Krismas.
Walaupun sudah setahun berlalu, namun mereka masih merasai kebimbangan jika banjir yang sama berulang, memandangkan taburan hujan dilaporkan tinggi pada musim tengkujuh tahun ini.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, penganut Kristian di kawasan ini mengimbau betapa tragisnya bencana itu dan mereka masih berada dalam keadaan trauma dengan apa yang berlaku hingga mengakibatkan kerugian harta benda.
Menurut penduduk, mereka sudah bersedia kali ini, dan pada masa yang sama tidak sabar untuk menyambut perayaan meriah bersama keluarga dan rakan-rakan.
Penduduk Taman Sri Muda, Derrick Anthony Theseira, 60, memaklumkan keluarganya akan menyambut perayaan itu secara sederhana.
Derrick membatalkan rancangan asalnya untuk pulang ke kampung halaman di Pulau Pinang kerana bimbang dengan keadaan rumahnya jika banjir berlaku sekali lagi.
“Bukan saya sahaja, anda boleh tanya semua orang di sini di Sri Muda. Saya yakin kami masih trauma. Ia kejadian yang menakutkan bagi kami, bukan sahaja bagi mereka yang menyambut Hari Krismas tetapi juga penduduk lain.
“Kami masih dalam tempoh pemulihan. Saya harap boleh balik ke Pulau Pinang tetapi saya takut jika bila saya balik dan hujan lebat, rumah saya, barang-barang peribadi saya akan musnah.
“Kami akan tinggal di sini dan meraikan apa yang kami mampu, secara kecil-kecilan. Pada masa yang sama kami sudah bersedia. Kebanyakan barangan kami sudah ada di tingkat atas. Sekiranya banjir, tiada apa yang perlu dibimbangkan,” kata Derrick.
Ketika banjir tahun lalu, Derrick kehilangan harta benda bernilai kira-kira RM100,000. Tiga kenderaannya termasuk sebuah kereta baharu rosak teruk.
“Semasa Hari Krismas tahun lepas, kami sibuk membersihkan rumah. Tiada sambutan,” katanya.
Derrick menggesa kerajaan negeri serta kerajaan persekutuan dapat menangani isu itu sepenuhnya bagi mengelakkan banjir kilat berulang.
“Pihak berkuasa mesti melihat punca kepada masalah daripada menuding jari. Sistem perparitan mesti diperbaiki dan dibina semula. Jika tidak tiada gunanya,” katanya.
Penduduk bersedia
Mogen Thanggavelu yang turut sependapat dengan Derrick, berkata penduduk sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan pada minggu terakhir tahun ini.
“Walaupun keadaan terkawal pada masa ini, kami tidak mengambil mudah perkara itu. Kami pernah berdepan satu pengalaman buruk sebelum ini dan kami tidak boleh membiarkannya berulang.
“Tiada siapa boleh gembira jika kehidupan kita hilang. Tahun lalu kami tidak dapat menyambut Hari Krismas bersama kerana kehidupan kami hilang, rumah hilang dan kami masih berusaha untuk mengatasinya.
“Kali ini, kami bersiap sedia, bukan untuk mengatakan kami baik-baik saja, tetapi kami sudah belajar. Setiap kali hujan, orang di sini saling berwaspada, kami akan memaklumkan jiran mengenai hujan lebat jika mereka tiada di rumah,” tambahnya.

Awal minggu ini MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan di enam negeri sehingga Isnin.
Hujan lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Terengganu, Pahang, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Bagi Alexander Johnson, 35, dari Klang, beliau masih bersedih dengan tragedi tanah runtuh di Gohtong Jaya dan banjir di Terengganu.
“Pada asasnya ia lebih mudah berbanding tahun lepas tetapi kami bersedia sekiranya berlaku apa-apa. Kami boleh bersama keluarga dan rakan-rakan sekarang kerana kes Covid-19 bertambah baik.
“Tetapi kami juga sedih dengan kejadian tanah runtuh itu. Walaupun ia tiada kaitan dengan kami, namun kami tetap merasai keperitan kehilangan insan yang disayangi,” katanya.
Sementara itu, Jurutera Jualan Automotif Kevin Martin, 41, dari Selangor teruja menyambut Krismas tahun ini.
Katanya, Hari Krismas tahun lepas adalah baik tetapi tidak semeriah tahun ini kerana beliau merancang untuk pergi melancong selepas perayaan itu.
“Kami akan menikmati Hari Krismas yang ditunggu-tunggu bersama isteri dan keluarga. Selepas itu, kami akan bercuti untuk tempoh yang lama.”
Christopher Timothy juga dari Klang memberitahu The Malaysian Insight dia akan meraikannya tetapi akan tetap berwaspada.
Ini kerana katanya, dia baru berkahwin awal tahun ini. Beliau bagaimanapun mengakui tahun lalu adalah tahun yang memeritkan.
“Tahun lepas agak teruk. Bukan sahaja banjir, tetapi semasa banjir, ibu saya diserang sakit jantung dan kami terpaksa membawanya ke hospital. Kami perlu membersihkan rumah dan tiada sambutan.
“Tahun ini saya berkahwin, mendapat pekerjaan di Singapura dan saya rasa kami akan bergembira bersama keluarga dan rakan-rakan. Tetapi sudah tentu, ia membimbangkan jika hujan tidak berhenti. Semoga keadaan menjadi lebih baik tahun ini,” katanya. – 25 Disember, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen