PENDUDUK di Taman Sri Muda mula meengalihkan kenderaan mereka ke kawasan lebih tinggi kerana longkang di kawasan kejiranan mula melimpah berikutan hujan lebat.
Air mula melimpah ke anjung hadapan kediaman penduduk menyebabkan mereka mula mengalihkan barangan berharga ke tempat lebih tinggi.
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Letchumy berkata, beliau bimbang kemungkinan banjir lagi.
“Longkang tersumbat disebabkan sampah yang dibuang penduduk berikutan banjir bulan lalu.
“Pihak berkuasa lambat membersihkan sampah, jadi penduduk membuang sampah ke dalam longkang,” katanya.
Raj Kumar, 36, berkata beliau bimbang rumahnya mungkin dinaiki air semula jika hujan tidak reda dalam beberapa jam akan datang.
Hujan lebat bermula selepas jam 2 petang hari ini.
“Kami baru sahaja berdepan banjir besar sebulan lalu dan kami tidak mampu untuk menghadapinya lagi,” katanya.
Sementara itu, pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam yang hadir di tempat kejadian berkata air semakin surut dan keadaan akan kembali normal tidak lama lagi.
Hujan lebat pada 17-18 Disember menyebabkan banjir besar di beberapa negeri, termasuk bahagian tengah Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.
Ia agak luar biasa kerana lazimnya pada waktu itu banjir melanda di negeri pantai timur.
Banjir itu menyebabkan lebih 70,000 orang kehilangan tempat tinggal dan meragut 54 nyawa.
Selangor adalah antara negeri yang paling teruk terjejas yang mana beribu-ribu orang terpaksa dipindahkan. – 24 Januari, 2022.
Komen