WALAUPUN hujan reda, penduduk Taman Sri Muda di Shah Alam, Selangor tidak akan tidur lena malam ini.
Mereka bimbang hujan turun lagi dan tidak mahu lagi kejadian banjir mengejut seperti yang berlaku bulan lepas berulang.
Hujan lebat petang tadi menimbulkan kebimbangan apabila air daripada longkang yang melimpah sampai ke anjung beberapa rumah menyebabkan ramai penduduk mula mengalihkan kenderaan ke tempat lebih tinggi.
Pemandu ambulans Mohd Anas, 51, berkata kemungkinan besar beliau tidak akan tidur malam ini kerana bimbang dengan kemungkinan hujan.
“Walaupun selepas hujan tiga jam, kawasan ini dinaiki air jadi saya harus bersiap sedia malam ini sekiranya hujan turun lagi,” kata Anas kepada The Malaysian Insight
“Selepas apa yang berlaku sebelum ini, saya tidak mahu lagi terperangkap di dalam rumah berhari-hari.
“Jadi jika hujan pada waktu malam, kemungkinan besar saya akan berpindah dan pergi ke rumah sepupu saya di Klang,” kata Anas yang menetap di Taman Sri Muda selama lebih 15 tahun.
Tambahnya, trauma yang dihadapi beliau dan isterinya semasa banjir bulan lalu membuatkan mereka sentiasa bimbang walaupun hujan turun selama sejam.
Hujan lebat pada 17-18 Disember menyebabkan banjir besar di beberapa negeri, termasuk bahagian tengah Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.
Banjir itu menyebabkan lebih 70,000 orang kehilangan tempat tinggal dan meragut 54 nyawa.
Selangor adalah antara negeri yang paling teruk terjejas yang mana beribu-ribu orang terpaksa dipindahkan.
Selva Kumar, 47, turut bersetuju dengan Anas dan berkata beliau tidak akan tidur malam ini sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya hujan lagi.
“Saya kehilangan kereta saya dalam banjir sebelum ini, jadi saya akan berjaga-jaga apabila hujan lagi.
“Kami perlu berjalan kaki ke pusat perlindungan terdekat sekiranya keadaan berubah malam ini.
“Kami sangat berharap malam ini tidak hujan lagi kerana kami kehilangan segala-galanya dalam banjir sebelum ini.
“Sekiranya tempat ini dinaiki air lagi, kemungkinan besar saya akan berpindah ke kawasan lain,” katanya.
Suri rumah Goh How Ling, 48, berkata, keluarganya telah mengemas beberapa barang mereka di rumah itu awal hari ini sekiranya mereka terpaksa berpindah.
“Kami mendengar bunyi yang kami anggap sebagai siren, jadi kami mula berkemas.
“Bukan senang tinggal di Taman Sri Muda tetapi ini sahaja yang menjadi tempat tinggal kami.
“Kami juga tidak mampu untuk berpindah ke tempat baharu memandangkan kebanyakan barangan kami hilang semasa banjir pada Disember lalu,” katanya.
Sementara itu, Adun Kota Kemuning V.Ganabatirau berkata beliau menggesa pihak berkenaan supaya bersiap siaga sekiranya keadaan bertambah buruk.
“Saya telah menilai keadaan dan saya telah memberitahu pihak berkuasa untuk bersiap sedia dan berjaga-jaga. Buat masa ini keadaan terkawal.
“Apa yang saya nampak sistem perparitan tersumbat, saya nak ingatkan kepada semua supaya tidak membuang sampah ke dalam longkang.
Terdahulu hari ini, penduduk di Taman Sri Muda mula mengalihkan kereta mereka ke kawasan tinggi kerana banjir kilat melanda di sepanjang Jalan Tokoh 25/8, berhampiran Kondominium Valencia.
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/363508
Longkang di kawasan kejiranan itu mula melimpah berikutan hujan lebat dan paras air mencecah anjung hadapan beberapa rumah ketika penduduk berpusu-pusu untuk memindahkan barang berharga mereka ke tempat yang lebih tinggi.
Hujan lebat bermula selepas jam 2 petang hari ini. – 24 Januari, 2022.
Komen