Bodoh buat PRU waktu banjir, kata penduduk Sri Muda


Elill Easwaran

Hujan lebat Disember tahun lepas menyebabkan banjir besar di beberapa negeri, termasuk bahagian tengah Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang. Ini fenomena luar biasa memandangkan banjir sekitar waktu itu lazimnya melanda negeri pantai timur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2022.

PENDUDUK Taman Sri Muda, Shah Alam yang terjejas akibat banjir tahun lepas menentang keputusan kerajaan untuk buat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum hujung tahun ini.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa adalah bodoh kerajaan untuk mempertimbangkan “langkah kejam” sedemikian.

Bodoh jika kerajaan pertimbang untuk buat “langkah kejam” itu.

Gitaris David Arokiasamy, 68, berkata tindakan bodoh jika kerajaan mahu buat PRU sedangkan sudah tahu banjir mungkin berlaku.

“Malah Jabatan Meteorologi telah memberi amaran tentang banjir yang dijangka berlaku pada November dan mungkin lebih teruk daripada tahun lepas.

“Kerajaan bercakap tentang Keluarga Malaysia tetapi mahu pilihan raya, bermakna mereka tidak ambil berat tentang rakyat,” katanya.

Katanya, ramai penduduk di kawasan kejiranannya masih belum pulih sepenuhnya daripada banjir tahun lalu.

“Kerajaan harus fokus kepada rakyat dan tidak tamak kuasa.

“Perlu buktikan mereka mengambil berat terhadap rakyat dengan bertindak buat projek tebatan banjir,” kata David yang masih trauma setiap kali hujan.

Bagaimanapun, jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat, David berkata beliau akan mengundi bagi memastikan mereka yang jadi punca kerosakan rumahnya tahun lepas tidak berkuasa lagi.

Gitaris David Arokiasamy, 68, berkata bodoh jika kerajaan mahu buat PRU sedangkan sudah tahu banjir mungkin berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2022.

Minggu lepas, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat Malaysia tidak perlu menunggu lama sebelum pengumuman pilihan raya dibuat.

Beliau berkata, rakyat perlu menunggu sedikit masa lagi kerana PRU15 akan diadakan selepas perbincangan dengan Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi.

“Percayalah. Sedikit lagi (penantian itu). Ia tidak lama lagi.”

Sementara itu, pemandu ambulans Mohd Anas, 51, berkata kerajaan perlu fokus buat persediaan untuk menghadapi banjir.

“Mereka sepatutnya sudah ada pusat pemindahan dan semua rancangan yang diperlukan untuk pastikan orang ramai tidak terjejas teruk akibat banjir.

“Amat mengecewakan apabila kita bimbang tentang banjir tetapi kerajaan hanya bercakap mengenai pilihan raya,” katanya.

Anas yang menganggarkan kerugian di rumahnya kira-kira RM12,000 akibat banjir tahun lalu berkata beliau tidak akan mengundi jika PRU diadakan dalam beberapa bulan akan datang.

“Saya nak bersiap sedia di rumah kalau-kalau banjir lagi, daripada keluar mengundi.

“Saya memang nak tunaikan kewajipan saya sebagai rakyat dan mengundi tetapi ketika ini saya tidak mampu untuk berhadapan banjir lagi.

“Saya sudah rugi banyak, sedar kerajaan lebih berminat untuk kejar kuasa berbanding jaga rakyat,” katanya.

Pemandu ambulans Mohd Anas, 51, berkata beliau kecewa apabila rakyat bimbang tentang banjir tetapi kerajaan nak buat pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2022.

Hujan lebat sebelum dan pada hujung minggu 17-18 Disember tahun lepas menyebabkan banjir besar di beberapa negeri, termasuk bahagian tengah Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang. Ini fenomena luar biasa memandangkan banjir sekitar waktu itu lazimnya melanda negeri-negeri pantai timur.

Banjir itu menyebabkan lebih 70,000 orang kehilangan tempat tinggal dan mengorbankan 54 nyawa. Selangor antara negeri paling teruk dilanda banjir dengan beribu-ribu orang terpaksa dipindahkan.

Seorang lagi penduduk Susan Lim, 46, berkata, dia tahu kerajaan tidak lagi mengambil berat tentang rakyat selepas kejadian banjir tahun lalu.

“Pada ketika ini, kita sedar apabila melibatkan banjir, kita hanya boleh bergantung kepada diri sendiri dan juga kumpulan masyarakat sivil.

“Jadi saya tidak akan terkejut jika pilihan raya diadakan sejurus November,” katanya.

Tambahnya, beliau hanya akan buang undi ikut situasi banjir.

“Jika hujan berterusan beberapa hari sebelum hari mengundi, saya akan tinggal di rumah dan pindah barang-barang saya ke atas daripada buang masa untuk pergi mengundi.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Yunos, 62, menggesa kerajaan supaya tidak memikirkan pilihan raya ketika ini.

“Kami membaca berita setiap hari dan lihat ramai orang termasuk pembangkang dan kerajaan cakap tentang pilihan raya.

“Tiada sesiapa bimbang tentang kesejahteraan rakyat yang mungkin terjejas akibat banjir sekali lagi,” kata Yunos.

Beliau berkata memalukan apabila pemimpin negara begitu tamak kuasa dan bukannya memperjuangkan rakyat.

Awal bulan ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata banjir besar akibat hujan lebat berterusan dijangka berlaku di negara ini mulai pertengahan November.

Beliau berkata monsun timur laut dalam tempoh itu akan membawa hujan lebat berterusan yang boleh mengakibatkan banjir besar.

“Jika pilihan raya umum diadakan pada awal November, kemungkinan ia menghadapi banjir besar adalah rendah. Banjir besar dijangka pada pertengahan November hingga akhir November.

“Sekiranya PRU15 pada Disember, kemungkinan ia menghadapi hujan lebat berterusan dan kemungkinan banjir besar adalah tinggi akibat monsun timur laut,” katanya. – 25 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen