Tanah runtuh di Raub, tiada mangsa terbabit


Kejadian tanah runtuh di laluan belakang premis perniagaan di Jalan Tun Razak, Raub, Pahang hari ini. – Gambar Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Raub, 18 Disember, 2022.

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang mengesahkan berlaku kejadian tanah runtuh di laluan belakang premis perniagaan di Jalan Tun Razak di bandar Raub, hari ini.

Ketua Zon 3 JBPM Pahang Sharulnizam Nasir bagaimanapun berkata, runtuhan tanah daripada ketinggian 15 meter dan membabitkan kawasan seluas 30 meter itu tidak membabitkan mangsa.

“Pihak bomba dimaklumkan kejadian pada jam 2.45 petang dan pemeriksaan dilakukan bagi memastikan kawasan itu selamat. Pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa untuk memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya hari ini.

Sementara itu, ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui menerusi status di akaun Facebooknya memaklumkan Majlis Daerah Raub (MDR) akan melakukan kerja pembersihan runtuhan dan menutup laluan belakang bangunan itu dengan segera.

“Saya menasihatkan peniaga (di premis) supaya memastikan tiada pekerja atau sesiapa menetap di bilik belakang bangunan itu kerana dibimbangi jika kejadian berulang, ia boleh membahayakan nyawa,” katanya. – Bernama, 18 Disember, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen