Mahkamah tolak permohonan larang presiden Peka buat kenyataan media


Presiden Peka Shariffa Sabrina Syed Akil didakwa menceroboh tanah kerajaan di Raub. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2022.

MAHKAMAH Sesyen Raub hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk mendapatkan perintah awal larangan bersuara bagi menghalang bekas Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil membuat sebarang kenyataan berhubung kes dihadapinya di media atau media sosial. 

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya membuat keputusan itu selepas mendapati pemohon iaitu Pendakwa Raya dari Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang telah gagal memenuhi syarat perlu dipatuhi dalam membuat permohonan tersebut yang difailkan selepas Shariffa Sabrina didakwa di mahkamah sama atas dakwaan menceroboh tanah kerajaan tanpa kebenaran. 

Ahmad Faizadh pada penghakimannya berkata hakim yang mendengar perbicaraan itu mempunyai kewajipan mempertimbangkan keterangan di dalam mahkamah sahaja dan perlu mengabaikan perkara tidak berkaitan selain keputusan dibuat masih boleh dirayu ke peringkat atasan jika seorang hakim melakukan kekhilafan. 

“Ketiadaan membenarkan perintah awal larangan bersuara tidak akan mengakibatkan penafian hak mendapatkan perbicaraan yang adil. Sebaliknya, ini memberi peluang kepada pemohon untuk menceritakan kisahnya dan sekali gus mewujudkan naratif seimbang dalam perkara ini. 

“Selain itu, pemohon masih mempunyai jalan keluar menurut undang-undang fitnah, malah pemohon juga boleh memulakan prosiding pengkomitan untuk penghinaan mahkamah jika terdapat mana-mana pihak melanggar peraturan sub judice,” katanya. 

Mahkamah menetapkan 19 September sebagai sebutan semula kes bagi mengetahui perkembangan representasi selepas peguam Mohd Harris Mohan yang mewakili Shariffa Sabrina memaklumkan mereka berhasrat menghantar representasi berhubung semua pertuduhan yang dihadapi anak guamnya. 

Sebelum ini, Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang Izzat Ikhwan Abu Bakar memfailkan notis usul itu pada 13 April lepas, bagi memohon Shariffa Sabrina selaku Orang Kena Saman (OKS) dalam kes tersebut dilarang membuat sebarang kenyataan di media dan media sosial termasuk Facebook peribadinya. 

Bagaimanapun, Mohd Harris dalam hujahan bertulisnya menafikan hantaran dilakukan OKS boleh menggugat perbicaraan yang adil selain menghujahkan pendakwaan boleh melaporkan laman media sosial OKS kepada pihak Facebook atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan, jika terdapat sebarang kenyataan dianggap boleh mengganggu perbicaraaan. 

Pada 15 Mac lepas, Shariffa Sabrina, 60, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang didakwa dilakukan pada 2 petang, 10 dan 11 Jun 2021 dengan menduduki tanah di Lot 26148, GM4135 di Mukim Bentong; Lot 1053, PM0053 Mukim Ulu Dong dan Lot 10061, GM1572 Mukim Tras, kedua-duanya di Raub tanpa kebenaran sah.

Tanah terlibat buat masa ini didakwa dijadikan resort dan tempat perniagaan, iaitu Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant, Tanah Aina Fahad Glamping Resort dan Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort.

Pertuduhan mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara 1965 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 425 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang diwakili Pegawai Pendakwa Muhammad Taqiyuddin Azizan. – Bernama, 8 Julai, 2022.              
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen