Pengeluar tempatan tidak gusar saingan durian China


Khoo Gek San

Keadaan geografi Malaysia masih yang terbaik bagi penanaman Musang King, kata pengeluar tempatan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2022.

PENGELUAR tempatan yakin permintaan terhadap durian Musang King masih tinggi walaupun China turut menanam buah  itu.

Bagi mereka itu bukan satu ancaman buat masa ini kerana pokok durian mengambil masa tujuh hingga lapan tahun untuk berbuah, namun mengakui mungkin memberi masalah kepada pengeluar tempatan dalam jangka masa panjang.

Malaysia mengeksport ulas durian ke China sejak 2007, dan Musang King mendapat permintaan tinggi di sana.

Pengarah Urusan Top Fruits Tan Sue Sian memberitahu The Malaysian Insight hasil tuaian durian bergantung kepada faktor cuaca, taburan hujan dan kesuburan tanah.

Katanya, walaupun durian sesuai ditanam di China di wilayah Hainan, tetapi negara itu terdedah kepada kepada taufan, yang akan menjejaskan hasil tuaian.

Jika dibandingkan dengan Malaysia, kos menanam durian di negara ini jauh lebih rendah, tambah Tan.

“Walaupun teknologi penanaman dan pembekuan China setanding dengan Malaysia, tetapi kos penanaman dan buruh di sana lebih tinggi.

“Durian segar hanya bertahan selama tujuh hari, dan kalau China bercadang untuk tanam bagi pasaran domestiknya sudah tentu akan mengambil tempoh yang lebih lama untuk angkut buah segar dari selatan ke utara negara itu.

“Langkah terbaik ialah menggunakan kaedah sejuk beku,” katanya.

Menurut Tan lagi, durian lebih baik ditanam di China untuk tujuan penyelidikan.

“Kos tanah dan buruh di China jauh lebih tinggi dan durian mengambil masa tujuh hingga lapan tahun sebelum buah boleh dituai.

“Keadaan geografi Malaysia masih yang terbaik bagi penanaman Musang King. Malah buah yang ditanam di sini lebih baik berbanding yang ditanama di Thailand dari segi isi, warna dan teksturnya,” jelasnya.

Pengeluar tempatan berkata durian Musang King yang ditanam di sini masih yang terbaik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2022.

Bukan ancaman jangka pendek

Pengasas Duricious Sdn Bhd Simon Chin berkata durian Musang King yang bekualiti tinggi ditanam di Raub, Pahang.

Walaupun durian yang ditanam di China mungkin akan menjejaskan pasaran Malaysia, namun kualiti durian di sini masih yang terbaik.

“Durian keluaran China lebih murah dan dibekalkan ke kawasan pinggir bandar.

“Musang King  dari Raub masih jadi pilihan mereka yang mahukan buah berkualiti tinggi,” kata Chin.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kualiti durian dari China dan Thailand mungkin akan mengatasi Malaysia.

Oeh itu peladang tempatan perlu sentiasa mencari jalan untuk menghasilkan durian yang lebih baik.

Chin, yang mengimport durian sejak 14 tahun lalu, berkata hanya sekitar 10% hingga 15% pengguna mampu membeli Musang King kerana harganya yang mahal. – 6 Julai, 2022.   

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen