Lori terperangkap jambatan runtuh, pemandu cedera


Keadaan lori yang terperangkap disebabkan jambatan runtuh di Jalan Bentong-Raub Lama. – Gambar Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Raub, 22 Februari, 2022.

SEORANG pemandu lori muatan surat khabar berhadapan detik cemas selepas kenderaan dipandunya terperangkap dalam kejadian jambatan runtuh di Jalan Bentong-Raub Lama berhadapan sebuah tokong Cina dekat Raub, Pahang hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub Kama Azural Mohamed, berkata kejadian pada kira-kira jam 3 pagi itu mengakibatkan pemandu lori Chia Kein Bong, 30, mengalami kecederaan ringan dan dia dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku berikutan hujan lebat di kawasan berkenaan sekitar jam 11.30 malam sehingga awal pagi.

“Susulan insiden berkenaan, laluan di kedua-dua arah ditutup dan tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Raub menerusi catatan di Facebook memaklumkan laluan berkenaan ditutup bermula hari ini sehingga diberitahu kelak.

Justeru pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi papan tanda arahan disediakan dan jalan alternatif yang boleh digunakan adalah laluan utama Persekutuan FT008, Bentong-Raub dan FT34, Central Spine Road. – Bernama, 22 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen