Jangan hentikan kelas demokrasi di universiti awam, kata pelajar


Ravin Palanisamy

Aktivis Fahmi Reza mengadakan kelas demokrasi untuk pelajar universiti bertujuan antara lain memberi pendedahan dan pengetahuan tentang proses pilihan raya. – Gambar Facebook, 17 November, 2022.

PIHAK yang mengambil inisiatif mengadakan forum atau kelas berkenaan demokrasi perlu dibenarkan masuk ke universiti awam untuk mendidik golongan muda tentang proses pilihan raya, kata pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Aliff Naif Mohd Fizam.

Presiden persatuan pelajar UIAM itu berkata wakil pelajar di universiti perlu bersuara dan memperjuangkan hak mereka untuk mendapatkan kebebasan kepada akademik.

“Wakil pelajar perlu lantang tentang kebebasan akademik, sama ada ia berpihak kepada sebuah parti tertentu atau tidak.

“Mereka perlu sekurang-kurangnya berunding dengan universiti untuk membenarkan kelas seumpama itu diadakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan dijalankan pada Sabtu ini, artis jalanan dan aktivis Fahmi Reza berkunjung ke universiti untuk mengadakan Kelas Demokrasi bertujuan mendidik golongan muda dan pengundi kali pertama tentang proses pilihan raya.

Bagaimanapun, selain UIAM dan Universiti Taylor, beliau tidak dibenarkan masuk atau dibawa keluar dari kampus oleh anggota keselamatan di universiti tertentu.

Antara universiti yang menghalang kelas demokrasinya diadakan ialah Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, dan  yang terbaru, Universiti Sultan Zainal Abidin.

Selepas dihalang, Fahmi biasanya mengadakan kelas itu di jalan raya atau di tempat makan.

Aliff yang hadir sesi kelas Fahmi di UIAM berkata tidak ada sebab untuk universiti menghalang kelas itu, kerana ia tidak membabitkan agenda politik.

“Fahmi ajar perkara yang sangat asas, contohnya bagaimana ahli Parlimen dipilih, kemudian beliau cakap tentang Dewan Negara dan fungsinya kerana kebanyakan pelajar tidak tahu peranannya.

“Beliau juga bercakap tentang dasar, bagaimana ia dibuat, siapa bertanggungjawab atas dasar itu dan bagaimana dasar ini menjejaskan kehidupan harian rakyat.

“Beliau ajar kami bagaimana hendak mengundi dan perkara asas lain, dan beliau tidak mengajak kita cenderung kepada mana-mana parti politik,” katanya.

Aliff berkata tidak patut universiti menghalang sesi seumpama itu kerana ia memberi manfaat kepada pelajar, terutama bagi yang akan mengundi kali pertama pada PRU15.

“Pentadbiran universiti tidak datang hentikan sesi itu sendiri, tetapi mereka hantar pengawal keselamatan. Perkara sama di universiti lain juga.

“Mereka mendakwa Fahmi tidak mendapat kebenaran, bermaknan beliau tidak membuat permohonan untuk mengadakan kelas itu, maka tidak dibenarkan kerana diandaikan ia adalah kempen politik.

“Ia sebenarnya bukan satu program, ia hanya sesi berkongsi pengetahuan di universiti awam,” kata Aliff. – 17 November, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen