BEBERAPA kumpulan hak asasi manusia mengecam pihak berkuasa kerana meletakkan pereka grafik grafik Fahmi Reza dalam senarai “no fly” yang menghalangnya daripada meninggalkan negara ini.
Mereka menegaskan kaveat yang sama tidak dikenakan kepada sebilangan individu berprofil tinggi - termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor, bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi - yang dibenarkan meninggalkan negara ini, walaupun ketika dalam perbicaraan atau selepas sabitan jenayah seperti kes Najib.
Mereka berkata amalan memihak kepada golongan elit adalah berat sebelah.
“Kes Fahmi adalah contoh klasik hipokrasi kerajaan, (dengan) mengamalkan ‘double standard’ menyenaraihitamkan Fahmi, manakala bekas perdana menteri Najib dibenarkan meninggalkan negara ini,” kata Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy.
“Dalam kes Najib, beliau adalah pesalah tetapi masih dibenarkan keluar. Kes rasuah khususnya 1Malaysia Development Berhad (1MDB) amat memalukan negara.
“Ia tidak adil kerana terdapat kes jenayah serius yang belum selesai dan mereka (Najib, Rosmah dan Zahid), dibenarkan bergerak bebas.
“Ini adalah hipokrasi dan tindakan pengecut oleh kerajaan dan agensi penguatkuasaannya,” kata Sevan kepada The Malaysian Insight.
Minggu lalu, Fahmi berkata beliau dilarang ke luar negara. Pereka grafik itu berkata arahan datang dari Bukit Aman.
Fahmi berkata beliau perlu ke Eropah pada Mei kerana terlibat dalam pembikinan teater dan mendakwa akan cuba mendapatkan pelepasan dari Bukit Aman selepas Hari Raya.
Tahun lalu, Najib dan Rosmah diberi kebenaran terbang ke Singapura untuk melawat anak perempuan mereka, Nooryana Najwa, yang melahirkan anak keduanya di republik itu.
Zahid juga mendapat kembali pasportnya yang diambil tahun lepas ketika mendapatkan rawatan perubatan di Jerman.
Awal bulan ini, Zahid sekali lagi berjaya dalam permohonannya untuk mendapatkan semula hak pemilikan sementara pasportnya kerana memberitahu mahkamah mahu menunaikan umrah.
Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global Shashi Kumar berkata dwi standard di Malaysia sudah menjadi kebiasaan.
Beliau berkata walaupun Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan berbunyi: “Semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan undang-undang yang sama,” ia tidak diamalkan.
“Amalan dwi standard dan diskriminasi Malaysia sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP).
“Ia seperti sudah normal yang undang-undang berfungsi berbeza kepada rakyat biasa berbanding menteri. Jurang antara rakyat biasa dan mereka sangat besar.
“Mereka mempunyai pengaruh yang kuat, walaupun ada yang tidak lagi memegang jawatan.
“Kita mempunyai Perkara 8, yang melindungi semua dan menyatakan undang-undang adalah sama untuk semua tanpa mengira kaum atau agama tetapi ia tidak diikuti,” kata Shashi.
Satira bukan jenayah
Ilustrasi sinis yang dihasilkan Fahmi beberapa kali menimbulkan kemarahan pihak berkuasa, berdepan satu lagi masalah berhubung lukisan terbaharunya, yang disiasat di bawah Akta Hasutan.
Fahmi ditahan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung ilustrasi Mojo Jojo, penjahat utama dalam kartun The Powerpuff Girls.
Penampilan Mojo Jojo berpakaian diraja tidak menyenangkan pihak berkuasa.
Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 melibatkan kesalahan melakukan perbuatan dengan kecenderungan menghasut.
Ia membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan pertama.
__full.jpg)
Kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 antara lainnya adalah penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian oleh seseorang untuk menghantar sebarang komunikasi yang dianggap menyinggung perasaan dan boleh menyebabkan kegusaran kepada orang lain.
Ia boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
Sevan berkata tindakan pihak polis menggunakan kedua-dua akta itu tidak wajar dan tidak perlu, sambil menambah lebih 20 kes direkodkan dalam tempoh empat bulan dan beliau menggesa kerajaan memansuhkan kedua-dua akta itu.
“Pihak berkuasa menggunakan akta ini bukan sahaja untuk mendiamkan perbezaan pendapat tetapi juga untuk menakutkan suara rakyat.
Sevan berkata pereka grafik Fahmi adalah satu bentuk advokasi terhadap rasuah, salah laku serta dwi standard oleh pihak berkuasa dan ahli politik.
“Beliau harus diraikan sebagai rakyat contoh atas perjuangan gigih dan berterusan bagi tadbir urus yang lebih baik,” katanya.
Anil Netto, presiden Aliran Kesedaran Negara (Aliran) berkata Fahmi tidak sepatutnya menerima layanan sedemikian daripada pihak berkuasa atas karya seni satiranya.
“Pihak berkuasa harus mempunyai kriteria dan prosedur standard yang jelas dan konsisten bagi sebarang jenis tindakan yang diambil terhadap individu yang disiasat, agar pihak berkuasa ini agar tidak hilang kredibiliti dan rasa hormat di mata orang ramai.
“Mereka harus diberi arahan mengenai hak asasi untuk kebebasan bersuara dan pelbagai bentuk yang boleh diambil,” kata Anil.
Beliau berkata modul hak asasi manusia oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan polis - yang dilancarkan minggu lalu - akan berguna dalam situasi sedemikian.
Dibangunkan pada 2018, modul itu merupakan inisiatif untuk mengukuhkan pemahaman dan amalan pegawai polis dalam piawaian hak asasi manusia domestik dan antarabangsa.
Modul itu termasuk piawaian antarabangsa hak asasi manusia dan kepolisian; larangan diskriminasi; keperluan khas tahanan kurang upaya, wanita dan kanak-kanak; serta penggunaan prinsip hak asasi manusia dalam penahanan, penangkapan dan penggunaan kekerasan dan senjata api.
Bahagian lain modul itu terdiri daripada hukuman kejam dan tidak berperikemanusiaan yang mengabaikan maruah seseorang serta larangan penyeksaan. – 28 April, 2022.
Komen