PEREKA grafik dan aktivis Fahmi Reza mendakwa namanya disenarai hitam ke luar negara.
Perkara itu dimaklumkan Jabatan Imigeren semalam, katanya menerusi catatan di Instagram hari ini.
“Semalam aku baru dapat tahu, nama aku dalam senarai blacklist (senarai hitam) imigresen.
“Aku disekat dari renew (perbaharui) pasport, dan disekat dari ke luar negara. Jabatan Imigresen kata sekatan dari Bukit Aman/PDRM,” tulisnya.
Fahmi berkata beliau sedang cuba mendapatkan pelepasan dari Bukit Aman kerana terlibat dalam satu persembahan teater di Eropah yang dijadual berlangsung pada Mei.
“Aku tengah usaha untuk dapatkan clearance (pelepasan) dari Bukit Aman sebelum flight (penerbangan) aku lepas Raya.
“Kalau penjenayah yang dah sabit kesalahan dan ada 42 tuduhan jenayah korupsi pun boleh dapat clearance untuk ke luar negara, harap Bukit Aman boleh bagi aku clearance sekali. Jangan double standard,” katanya, merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang dibenarkan ke Singapura tahun lalu untuk melawat anaknya bersalin.
Minggu lalu, Fahmi dipanggil polis bagi siasatan memuat naik karikatur seekor beruk berwarna hijau dan berbulu hitam yang memakai pakaian berwarna kuning serta objek seperti keris dan pingat kebesaran.
Beliau ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – 23 April, 2022.
Komen