OPERASI perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang kembali beroperasi hari ini selepas lima hari digantung operasi sejak Rabu lepas, stabil walaupun terdapat gangguan sementara di beberapa stesen.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan hari ini memaklumkan gangguan sementara pada sistem bukan kritikal keselamatan berlaku pada 12.43 tengah hari tadi yang menjejaskan beberapa stesen di sekitar Stesen Damai, namun ia telah dipulihkan dalam masa 15 minit.
“Pihak Rapid Rail memohon maaf kepada penumpang-penumpang yang terjejas. Kelancaran keseluruhan sistem LRT laluan Kelana Jaya akan terus dipantau oleh pakar teknikal Rapid Rail bagi memastikan operasi dan sistem kekal stabil serta selamat untuk semua pengguna,” menurut kenyataan itu.
Menurut Rapid Rail, tinjauan di stesen-stesen utama di sekitar Kuala Lumpur ketika waktu puncak pagi menunjukkan pergerakan penumpang adalah lancar.
“Kesesakan penumpang di stesen-stesen telah berkurangan namun polis bantuan, pegawai-pegawai stesen dan kakitangan Prasarana masih memantau keadaan,” katanya.
Sebagai langkah persediaan, Rapid Rail memaklumkan sejumlah 92 bas perantara percuma diaktifkan untuk memberi alternatif serta kemudahan kepada orang awam sekiranya berlaku gangguan.
Menurut Rapid Rail, pelaksanaan pampasan kepada penumpang LRT Laluan Kelana Jaya seperti yang telah diumumkan juga bermula pada hari ini dan kakitangan stesen telah membantu memberi penerangan kepada penumpang.
Sebelum ini, Prasarana Malaysia Berhad mengumumkan sebanyak 16 stesen dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung perkhidmatan selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 November ekoran perkhidmatan yang tidak stabil akibat gangguan komponen elektronik pada sistem Kawalan Tren Automatik (TAC).
Semalam, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong memaklumkan perkhidmatan laluan LRT itu akan beroperasi semula hari ini, dua hari lebih awal daripada jangkaan, selain turut mengumumkan pampasan tiket selama tujuh hari kepada pengguna yang terjejas. – Bernama, 14 November, 2022.
Komen