RIBUAN penumpang terkandas pagi ini ekoran penutupan mengejut operasi 16 stesen LRT laluan Kelana Jaya meliputi Petaling Jaya hingga ke pusat bandar Kuala Lumpur.
Gambar disiarkan pengguna di media sosial menunjukkan penumpang memenuhi kawasan luar stesen untuk mendapatkan pengangkutan bagi meneruskan perjalanan.
Penutupan itu diumumkan pengendalinya Rapid Rail Sdn Bhd yang menyebut tindakan itu meliputi stesen dari Kelana Jaya hingga Ampang Park di laluan tersebut.
Dari Kelana Jaya, stesen ditutup termasuk Taman Bahagia, Paramout, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum, Sentral dan Pasar Seni.
Turut ditutup, stesen Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park, kata Rapid Rail dalam makluman ringkas di Facebook.
__full.jpg)
Stesen lain akan beroperasi seperti biasa dan perkhidmatan ditamatkan lebih awal iaitu pada jam 11 malam, jelas Rapid Rail yang menasihati orang ramai mengambil pengangkutan awam alternatif.
Tindakan itu menyusuli gangguan perkhidmatan tren di laluan tersebut pada Sabtu dan Ahad lalu yang menurut Rapid Rail berpunca dari masalah Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC).
Ia menyebabkan tren terpaksa dipandu secara manual di antara Stesen KLCC dan Stesen Ampang Park serta tren berhenti lebih lama di platform dan mengganggu keseluruhan jadual perkhidmatan.
Isu tersebut mula dikesan pada tengah hari Sabtu diselesaikan pada awal pagi Ahad (6 November), namun masalah sama berulang pada Isnin, menurut kenyataan itu.
Rapid KL juga memaklumkan pihak Thales Group di Kanada selaku pengilang peralatan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan tersebut. – 9 November, 2022.
Komen