Perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya alami gangguan teknikal, kata Rapid Rail


OPERASI perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan pagi tadi berikutan masalah teknikal dihadapi sebuah tren ketika menghampiri stesen LRT Universiti menghala ke Putra Heights.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Amir Hamdan berkata kejadian pada 9.40 pagi itu menyebabkan tren tersebut terkandas ketika menghampiri stesen LRT Universiti.

Beliau berkata 54 penumpang diiringi petugas rel dikeluarkan dengan selamat dan teratur melalui laluan keselamatan yang terdapat di trek ke platform stesen LRT Universiti dalam jarak 10 meter.

“Siasatan secara mendalam akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kerosakan tren agar kejadian seumpama ini dapat dielakkan pada masa hadapan.

“Kami ingin memohon maaf kepada semua pengguna yang mengalami kelewatan dan kesulitan untuk menuju ke destinasi pada pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya pulih seperti sediakala pada 10.30 pagi tadi. – Bernama, 2 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen