LRT laluan Kelana Jaya akan dibuka semula sepenuhnya esok, selepas digantung susulan gangguan terhadap sistem kawalannya, kata Wee Ka Siong.
Menteri Pengangkutan itu berkata 16 stesen antara Kelana Jaya dan KLCC akan dibuka semula mulai 6 pagi esok.
Wee dalam catatan di Facebook berkata beliau sudah menaiki laluan itu petang ini sebagai sebahagian daripada sesi ujian untuk mengukur keselamatan dan keberkesanan operasinya.
“Saya amat berpuas hati dengan analisis yang dijalankan ke atas ujian meluas itu. Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) juga mengesahkan sistem Kawalan Kereta Api Automatik adalah stabil dan mengesahkan laluan itu selamat untuk beroperasi semula sepenuhnya,” katanya dalam satu video ringkas selepas menaiki tren itu.
Sebelum ini, Prasarana Malaysia Bhd mengumumkan perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung selama tujuh hari bermula 9 November hingga Selasa berikutan perkhidmatan tersebut didapati tidak stabil.
Penggantungan sementara itu diumumkan selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang serta masa yang diambil untuk mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan.
Laluan LRT Kelana Jaya kini hanya beroperasi dari Gombak ke Damai dan dari Lembah Subang ke Putra Heights.
Wee memberi jaminan kepada penumpang, akan ada pemantauan berterusan oleh pakar teknikal dalam Rapid Rail dan syarikat OEM bagi memastikan operasinya berjalan lancar.
“Saya berharap penyambungan semula ini dapat memberi kelegaan kepada pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang untuk berulang-alik ke tempat kerja dan menjalankan aktiviti harian,” katanya.
Beliau berkata bas pengantara di stesen tumpuan akan diteruskan.
Penutupan sementara itu membabitkan stesen Kelana Jaya; Taman Bahagia; Taman Paramount; Asia Jaya; Taman Jaya; Universiti; Kerinchi; Bangsar; Abdullah Hukum; KL Sentral; Pasar Seni; Masjid Jamek; Dang Wangi; Kampung Baru; KLCC dan Ampang Park. – 13 November, 2022.
Komen