PENGUNDI harus memikirkan calon perdana menteri yang ditawarkan oleh gabungan politik semasa membuang undi, kata calon Pakatan Harapan (PH) Sungai Buloh Ramanan Ramakrishnan.
Calon kali pertama daripada PKR berkata pengundi perlu memilih wakil Parlimen mereka berdasarkan merit calon perdana menteri yang ditawarkan.
Beliau mendakwa Ahmad Zahid Hamidi mungkin menjadi perdana menteri walaupun beliau sendiri menyokong Ismail Sabri Yaakob untuk jawatan tertinggi.
“Calon (Parlimen)…ya (pengundi mesti mempertimbangkan)
“Tetapi yang lebih penting, siapa yang anda semua mahu sebagai perdana menteri?
“Adakah anda mahu Zahid, Muhyiddin Yassin atau Anwar Ibrahim? Itu (keputusan) penting,” kata timbalan ketua penerangan PKR itu selepas menyempurnakan proses penamaan calon di kompleks pejabat daerah Petaling.
“Kita perlu berjaya di kerusi yang kita tandingi untuk memastikan kita secara kolektif boleh menyumbang kepada 112 kerusi Parlimen yang diperlukan untuk menjadikan Anwar sebagai perdana menteri.
“Anwar mesti ke Putrajaya,” katanya.
Awal hari ini calon BN Sungai Buloh Khairy Jamaluddin menolak cadangan mengundi beliau pada pilihan raya umum akan datang bermakna pengundi menyokong pengerusi gabungan Zahid untuk menjadi perdana menteri.
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/409949
Khairy dengan tegas mengulangi Ismail Sabri Yaakob adalah perdana menteri BN yang dicalonkan sekiranya menang bukannya Zahid.
Ramanan sangat bersemangat, percaya beliau boleh menjatuhkan enam calon lain termasuk pesaing kuat Khairy di kerusi itu.
Bekas ahli politik MIC itu mengakui beliau tidak begitu berpengaruh di media sosial seperti Khairy.
“Khairy berkata beliau adalah underdog di sini terutamanya di lapangan tetapi saya fikir saya underdog apabila ia datang kepada media sosial (berkempen).
“Bagaimanapun saya ada dua Adun di sini (Shathiri Mansor dan Khairuddin Othman) yang akan membantu saya melalui tempoh kempen ini dan dengan kita semua bekerjasama di sini saya amat yakin dan berpendapat kita mempunyai peluang yang sangat baik,” katanya sambil menambah beliau akan mendedahkan manifestonya untuk kawasan itu esok.
Sungai Buloh dijangka berdepan persaingan tujuh penjuru dengan dua calon bebas turut bertanding.
Selain Ramanan dan Khairy calon lain ialah daripada Perikatan Nasional (PN) Mohd Ghazali Md Hamin, Pejuang Mohd Akmal Mohd Yusoff, Parti Rakyat Malaysia (PRM) Ahmad Jufliz Faiza dan calon bebas Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff serta Nurhaslinda Basri.
Sungai Buloh bakal menjadi medan pertempuran utama dalam pilihan raya dengan lebih 67,000 tambahan undi kali pertama akan dibuat selepas umur mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 dan pendaftaran pemilih automatik dilaksanakan pada September. – 5 November, 2022.
Komen