SIVARASA Rasiah mahu ahli dan penyokong PKR tidak lagi mempersoalkan penggugurannya daripada mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Buloh.
Katanya, beliau menerima sepenuhnya keputusan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang memutuskan perkara itu sebagai ketua parti.
“Saya minta polemik tentang saya tidak jadi calon dihentikan. Lebih penting kita tumpu pada kempen PH untuk menang Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sivarasa yang juga ketua cabang PKR Sungai Buloh berkata beliau membuat kenyataan selepas beberapa pihak memintanya menjelaskan letak duduk perkara berkenaan selepas kenyataan bercanggah pemimpin tinggi PKR.
Semalam, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau dan jawatan kuasa pencalonan parti mencadangkan Sivarasa kekal bertanding di Sungai Buloh tetapi katanya, Anwar ada pandangan lain.
Anwar kemudian menjelaskan Sivarasa digugurkan atas faktor kesihatan.
PKR menamakan Timbalan Ketua Penerangan parti R Ramanan sebagai calon Pakatan Harapan, yang bakal berdepan antaranya calon Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin.
Pencalonan Ramanan dikritik banyak ahli dan penyokong parti.
Menurut Sivarasa, beliau mengalami masalah pada kotak suaranya sejak tiga bulan dan memerlukan alat bantu untuk bersuara.
Katanya, beliau sudah berbincang mengenai keadaan kesihatannya itu dengan Anwar dan mencadangkan kaedah kempen yang tidak akan memburukkan keadaan.
“Sehingga pagi Jumaat lepas (28 Oktober, hari PKR umum calon) nama saya masih lagi calon bagi Sungai Buloh.
“Lebih kurang 5 petang hari itu saya terima pesanan teks dari Anwar mengatakan selepas perbincangan lanjut, beliau putuskan saya tidak jadi calon.
“Saya terima sepenuhnya keputusan Anwar sebagai ketua parti,” katanya.
Sivarasa berkata pencalonan Khairy sudah diketahui oleh parti dan perkara itu pun ada dibincangkan dengan Anwar.
Sivarasa menang pilihan raya umum yang lalu dengan majoriti 26,634 undi. – 4 November, 2022.
Komen