Undi saya bukan makna sokong Zahid, kata Khairy


Ravin Palanisamy

Khairy Jamaluddin bergambar bersama penyokongnya di luar pusat penamaan calon Parlimen Sungai Buloh pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 5 November, 2022.

CALON Barisan Nasional (BN) di Sungai Buloh Khairy Jamaluddin hari ini menolak cadangan mengatakan pengundi yang mengundinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermakna mereka menyokong Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

“Satu undi untuk KJ (Khairy) di Sungai Buloh hanya bermakna satu undi untuk KJ di sini,” katanya yang juga menteri kesihatan selepas proses penamaan calon di kompleks pejabat daerah Petaling pagi tadi.

Khairy tegas mengulangi sekali lagi Ismail Sabri Yaakob adalah calon perdana menteri untuk BN, bukan Zahid.

“Naratif ini (Zahid jadi PM) perlu dijelaskan di sini dan sekarang.

“Calon untuk perdana menteri (bagi BN) adalah Ismail Sabri Yaakob.

“Saya akan sokong pencalonan Ismail sebagai perdana menteri seperti yang disebut Zahid sendiri. Tidak ada kekeliruan di situ,” katanya.

Awal hari ini, penyandang Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa berkata mengundi Khairy secara tidak langsung menyokong Zahid yang juga presiden Umno.

“Khairy sebagai individu tidak ada apa tetapi rakyat perlu lihat siapa yang diwakilinya. Itu relevan.

“Siapa yang beliau wakili? Zahid. Siapa Zahid? Seseorang yang akan disabitkan bersalah sebagai penjenayah.

“Itulah siapa yang Khairy bawa di sini. Pengundi perlu lihat perkara itu,” kata Sivarasa hari ini ketika hadir ke pusat penamaan calon untuk memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan di Sungai Buloh, Ramanan Ramakrishnan.

Parlimen Sungai Buloh akan menyaksikan pertandingan tujuh penjuru termasuk dua calon bebas.

Selain Khairy dan Ramanan, calon lain ialah Mohd Ghazali Md Hamin daripada Perikatan Nasional (PN), Mohd Akmal Mohd Yusoff (Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan dua calon bebas Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff dan Nurhaslinda Basri. 

Khairy mengakui bertanding di Sungai Buloh yang juga kubu kuat pembangkang, akan menjadi antara cabaran paling kuat sepanjang kariernya dalam politik.

Bagaimanapun, beliau kekal optimistik yang pengundi di Sungai Buloh akan memberikannya peluang untuk mewakili mereka.

“Saya mewakili Rembah sejak tiga penggal lalu dengan kemenangan tiga pilihan raya berturut-turut.

“(Sekarang) saya datang ke kawasan di mana kami (BN) kalah tiga pilihan raya umum berturut-turut tetapi saya bersedia menghadapi cabaran itu.

“Pertandingan ini tidak mudah langsung. Ini cabaran paling sukar dalam sepanjang kerjaya politik saya,” katanya.

Dengan sejumlah 158,090 pengundi berdaftar, kerusi Sungai Buloh sudah tentu menjadi perhatian pada pilihan raya umum kali ini.

Sekurang-kurangnya 67,383 adalah pengundi kali pertama selepas usia mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik pengundi dikuatkuasakan pada September. – 5 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen