Saingan 7 penjuru di Sungai Buloh


Calon Barisan Nasional Khairy Jamaluddin berdepan saingan tujuh penjuru di Parlimen Sungai Buloh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 5 November, 2022.

KERUSI Parlimen Sungai Buloh akan menyaksikan pertembungan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang dengan dua calon bebas bertanding.

Calon kegemaran Khairy Jamaluddin daripada Barisan Nasional (BN) akan ditentang oleh Pakatan Harapan (PH) Ramanan Ramakrishnan, dari Perikatan Nasional (PN) Mohd Ghazali Md Hamin, Mohd Akmal Mohd Yusoff dari Pejuang, dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) Ahmad Jufliz Faiza dan dua orang bebas Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff dan Nurhaslinda Basri.

Calon-calon diumumkan dan disahkan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya P107 Sungai Buloh Jusni Jasim yang mengendalikan penamaan calon di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling.

Penyandang kerusi ini R Sivarasa digugurkan oleh PH atas alasan kesihatan.

Pada Pilihan Raya Umum 2018 kerusi ini menyaksikan pertembungan empat penjuru kemudian dimenangi PH.

Pada pilihan raya lalu penyandangnya R. Sivarasa menang dengan majoriti 26,634 selepas memperoleh 43,631 undi. BN Prakash Rao memperoleh 16,681 undi manakala Nuridah Mohd Salleh mendapat 16,997 undi. Zainurizazaman Moharam dari PSM hilang deposit selepas memperoleh 642 undi.

Semua calon adalah muka baharu di kawasan ini.

Khairy yang merupakan penyandang menteri kesihatan dicalonkan ke Sg Buloh selepas timbalan presiden Umno Mohamad Hasan diletakkan sebagai calon di kerusi Rembau.

Selain Khairy, Syed Abdul Razak, kesemua calon lain bertanding dalam pilihan raya buat kali pertama.

Calon PH Ramanan Ramakrishnan, bekas ahli politik MIC dicalonkan selepas menggugurkan penyandang R. Sivarasa.

Ramanan hanya menyertai PKR pada 2020 selepas Langkah Sheraton.

Perikatan Nasional menamakan calon PAS Mohd Ghazali sebagai calon bagi kerusi majoriti Melayu, manakala Pejuang menamakan Mohd Akmal untuk pihak mereka.

Peguam Ahmad Jufliz Faiza yang mewakili PRM berkata beliau memutuskan untuk bertanding di Sungai Buloh semata-mata untuk menentang Khairy yang didakwanya menjadi punca beberapa bentuk diskriminasi berikutan dasar vaksin Covid-19.

Calon bebas Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff meletak jawatan sebagai ahli Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sebelum memutuskan bertanding di Sungai Buloh menggunakan logo utama.

Syed Abdul Razak juga merupakan bekas timbalan speaker Gerakan.

Pada PRU14 beliau bertanding di kerusi DUN Bukit Lanjan atas tiket Gerakan dan tewas dengan majoriti 40,233 undi kepada Elizabeth Wong dari PKR. 

Nurhaslinda Basri seorang yang tidak dikenali turut memfailkan kertas pencalonannya hari ini pada 9.37 pagi.

Dengan jumlah pemilih berdaftar seramai 158,090 orang, kerusi parlimen Sungai Buloh dianggap antara kawasan yang dinanti-nantikan.

Sekurang-kurangnya 67,383 daripada mereka akan menjadi pengundi kali pertama selepas umur mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik dilaksanakan pada September. – 5 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen