PAKATAN Harapan perlu berdepan gelombang kemarahan pengundi Pulau Pinang yang semakin besar apabila pilihan raya negeri (PRN) dijalankan berasingan kelak, kata pemimpin akar umbinya.
Mereka antara lain membangkitkan mengenai kesulitan perantau Pulau Pinang dari segi masa dan kos kerana perlu pulang sekali lagi untuk mengundi bagi PRN.
Selain itu, mereka juga perlu menguruskan sentimen penolakan pengundi Melayu terutama apabila isu projek tambakan laut di selatan pulau tersebut diketengahkan dalam kempen PRN.
Seorang pemimpin akar umbi ini memberitahu The Malaysian Insight, ia antara sebab yang menyebabkan mereka tetap membantah usaha mengadakan pilihan raya berasingan.
“(Pentadbiran) Pakatan Harapan ini ada tiga – Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. Di Selangor dan Negeri Sembilan mereka sudah tetapkan awal tidak mahu serentak.
“Tapi di Pulau Pinang ada beberapa pemimpin yang mempunyai perbezaan kerana faktor yang sebutkan itu.
“Tapi akhirnya kita sepakat tidak ada perbezaan tiga negeri ini. kita tidak boleh ada titik perbezaan yang boleh dilihat rakyat menunjukkan bahawa kita tidak sepakat,” katanya.

Pemimpin PKR itu ketika ditemui di Bayan Baru berkata, ia menyebabkan isu tersebut dibincangkan sehingga tiga kali di Majlis Presiden PH.
Hinggalah akhirnya pada 15 Oktober lalu majlis tersebut membuat pendirian untuk menangguhkan pembubaran sehingga tahun depan selepas musim tengkujuh.
Tiada kuasa agih dana musim tengkujuh
Mengulas keputusan itu, sumber berkata pemimpin negeri akur dengan keputusan pucuk pimpinan dan setuju dengan alasan yang diberikan.
Beliau berkata kebimbangan utama pemimpin PH pusat tertumpu kepada isu banjir kerana negeri tidak berkuasa menangani bencana itu jika hanya menjadi penyandang kerusi.
Mereka tidak berkuasa mengerahkan agensi atau meluluskan dana apabila DUN dibubarkan, jelasnya.
“Sekarang pun musim hujan. Kita takut apabila datang bencana banjir dan DUN dibubarkan kita cuma kerajaan sementara. Kita tak mampu buat keputusan, bagi bantuan kerah agensi kerajaan atau dana.”
Beliau memberi contoh keadaan yang berlaku semasa banjir melanda Pulau Pinang pada 2017.
“Kawasan yang kena Balik Pulau, Jalan P Ramlee, Lorong Sungai Dua dan kerajaan negeri ketika itu beri pampasan sebanyak RM700 kepada mangsa,” katanya.
Beliau berkata jika PH bertindak membubarkan DUN serentak, pentadbiran kerajaan negeri akan hilang kewibawaan memandangkan mereka bukan lagi kerajaan memerintah.
Selain itu, keputusan untuk tidak membubarkan DUN serentak juga untuk menjamin kesepakatan antara komponen parti dan keselamatan penduduk, kata sumber.
Setakat 15 September tahun ini, pengundi Pulau Pinang berjumlah lebih 1,200,000 orang dengan kira-kira 38% daripadanya pemilih Melayu.
Pemerhati politik meramalkan sokongan pengundi Melayu yang diraih semasa PRU14 ini akan hilang, antaranya disebab pelaksanaan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).
Projek itu mencetuskan kemarahan penduduk Melayu negeri itu terutama yang mencari sumber pendapatan sebagai nelayan.
Kumpulan pengundi ini memberi amaran kerajaan PH akan kecundang sekiranya tidak menghentikan penambakan laut.
Turut menjadi perhatian sentimen penolakan nelayan pantai Tanjung Tokong yang mahu mempertahankan kehidupan dan kawasan perkampungan mereka dari ancaman pembangunan.
Mengulas mengenai perkara tersebut, sumber tidak menolak isu berkenaan akan menggoyahkan sokongan pengundi Melayu terhadap kerajaan PH namun menjangka kesannya tidak terlalu besar.
“Kerajaan PH buat persiapan cukup untuk mereka seperti kita gerakkan pelbagai bantuan dan dana antaranya menyediakan tabung pendidikan, perumahan, dan pemberian bot.
“Kerajaan negeri percaya projek tambak itu boleh memberi anjakan paradigma untuk membawa perubahan dalam mobiliti sosial bukan sahaja untuk nelayan tapi rakyat Pulau Pinang secara keseluruhan.”

Ditanya tentang cabaran kepada jentera menjalankan gerak kerja, sumber berkata situasi pilihan raya berasingan tidak menjejaskan pelaksanaan tindakan akar umbi.
Sementara itu seorang lagi pemimpin akar umbi berkata, pemimpin negeri juga bimbang dipersalahkan pengundi luar yang terpaksa pulang lagi untuk mengundi selepas PRU 19 November.
Mereka juga bimbang jika Umno dan PAS akan bekerjasama semula untuk membentuk kerajaan selepas PRU15 kerana gabungan tersebut kerana PH negeri akan menjadi sasaran serangan.
“Jika ini berlaku, ia sebenarnya akan sedikit menggoyahkan PH di Pulau Pinang kerana dua parti itu akan dapat memberi tumpuan menyerang PH,” kata sumber dari PKR Balik Pulau.
Sumber dari pergerakan Pemuda Amanah negeri pula berkata mereka antara yang menolak keputusan menangguhkan PRN, namun kemudian menerimanya.
Seorang pemimpinnya Mohamad Hamdi Mohd Noor memahami cadangan itu dibangkitkan kerana terdapat luahan daripada pengundi terutama pelajar yang sukar untuk pulang mengundi lagi.
“Paling dibimbangi ia akan menyebabkan jumlah peratusan keluar mengundi akan merosot kerana hal parlimen berasingan ini,” kata ketua Pemuda Amanah Permatang Pauh itu.
Bagaimanapun mereka berharap PRN tidak diadakan serta-merta selepas PRU15 pada 19 November ini.
“Kita harap akan ada jarak mungkin selepas bulan Mei, atau selepas itu yang mungkin akan memberi kelegaan sikit kepada anak perantau,” katanya. – 4 November, 2022.
Komen