Biar berperang, kami tidak akan mengalah, kata nelayan pantai Tanjung Tokong


Mohd Farhan Darwis Syazwana Amir

NELAYAN pantai Tanjung Tokong di Pulau Pinang tidak lagi mahu beralah sebaliknya bertegas untuk mempertahankan kehidupan dan kawasan perkampungan mereka yang sering ditekan ancaman pembangunan.

Rumah sebahagian daripada nelayan di perkampungan itu kini hendak dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembangunan sekolah antarabangsa yang mempunyai perjanjian konsesi dengan syarikat milik kerajaan negeri.

Kamaruddin Othman, 70, menegaskan dia sudah letih beralah kepada pembangunan apabila sejak 90-an hingga hari ini keluarganya sudah empat kali berpindah-randah.

“Kita ikut jalan yang betul, sekiranya tak boleh terpaksa kami pun perang juga, apa nak jadi jadilah, rancangannya sekarang tunggu dan lihat, sekarang dah tiada jalan lain, kami tunggu, kalau kerajaan ambil juga mungkin akan jadi gaduh.

“Itu kita berperang, biar mati, pak cik dah tua, kubur dah panggil rumah dah halau, tak lama lagi (meninggal dunia), pegang golok (kita) lawanlah… nasiblah,” kata bapa kepada 10 anak itu kepada The Malaysian Insight.

Kawasan perkampungan itu didirikan di atas tanah berkeluasan 3.3 ekar dan mempunyai 78 struktur yang didirikan di atas kawasan rizab pantai sejak 2005, selepas kawasan asal mereka musnah dibadai tsunami pada 2004.

Kesemua 12 struktur milik sembilan individu itu bagaimanapun diarahkan supaya dirobohkan berikutan kawasan tersebut terletak di atas tanah perjanjian konsesi antara kerajaan negeri dan sekolah antarabangsa tersebut bagi pembinaan trek joging awam dan pusat sukan air.

Sembilan pemilik itu merupakan dua pemilik bot pelancong, lima nelayan, satu mekanik enjin bot, dan satu ahli keluarga nelayan.

Kawasan cadangan pembangunan pusat sukan air sekolah antarabangsa itu pula merupakan kawasan nelayan meletakkan bot-bot mereka.

Struktur yang perlu dirobohkan itu ialah empat unit kediaman, seunit kabin komuniti bomba dan tandas, masing-masing satu kolam transit hidupan laut dan nurseri tanaman bonsai, manakala bakinya adalah stor simpanan peralatan nelayan.

Kamaruddin Othman, 70, menegaskan dia sudah letih beralah kepada pembangunan apabila sejak 90-an hingga hari ini keluarganya sudah empat kali berpindah-randah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Jun, 2022.

Tiga struktur milik Kamaruddin yang merangkumi rumah, takungan kuarantin hidupan laut dan stor simpanan peralatan termasuk dalam struktur yang perlu dirobohkan itu.

“Saya tunggu sahaja, saya minta kelulusan permohonan tanah, saya mahu tempat nak simpan barang laut.

“Saya sudah empat kali berpindah, dulu barang tak banyak, sekarang empat anak kerja tangkap ikan, enjin, pukat, sampan empat biji, semua anak duduk dengan saya.

“Pertama kali saya dipindahkan pada sekitar 90an, pasal pembangunan, mereka tambak laut tak beri tempat (ganti), kita nak tempat dekat dengan laut, senang nak turun naik.

“Sampai sekarang masih tak selesai (isu nelayan) mana lagi kami nak pergi, nelayan dulu lain, sekarang berakal. Kalau nelayan dulu (kami sudah) berperang,” kata Kamaruddin.

Kesemua mereka yang terjejas turut ditawarkan ex-gratia, wang tunai sebagai gantian bagi unit yang dirobohkan. Jumlahnya bagaimanapun berbeza mengikut struktur yang didirikan.

Bagi unit kediaman mereka ditawarkan bayaran RM42,000 manakala bagi unit stor peralatan mereka ditawarkan bayaran sekitar RM9,000.

Nelayan bagaimanapun menolak bayaran ex-gratia tersebut sebaliknya menuntut kerajaan memberikan mereka satu kawasan gantian yang disertakan lesen pendudukan sementara (TOL) supaya mereka tidak lagi perlu berhadapan masalah sama pada masa hadapan.

Kawasan perkampungan di Tanjung Tokong didirikan di atas tanah berkeluasan 3.3 ekar dan mempunyai 78 struktur yang didirikan di atas kawasan rizab pantai sejak 2005. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Jun, 2022.

Setiausaha persatuan pendudukan kampung warisan nelayan, Tanjung Tokong Syahifah Hawa Zamzuri, 33, menegaskan sekiranya kerajaan merealisasikan permohonan mereka, penduduk tiada masalah merobohkan struktur seperti yang diarahkan.

“Bukan nilai ex gratia itu yang kami perlukan, kalau kata kami ambil ex gratia pun mana kami nak simpan bot, enjin, pukat, semua… itu semua mana boleh simpan di rumah pangsa. 

“Apa kami minta adalah tempat, tapi kerajaan negeri pun tak respon apa, mereka serahkan kepada agensi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan, untuk bantu nelayan,” katanya.

Syahifah Hawa, yang juga pemangku pengerusi nelayan Tanjung Tokong itu menegaskan, penduduk sudah membuat permohonan beberapa kali namun kesemuanya ditolak pihak kerajaan negeri.

Pertama kali mereka membuat permohonan TOL adalah pada 2012 namun ia ditolak, susulan itu pada pada 2013 dan 2014 penduduk kampung nelayan itu membuat rayuan namun masih gagal.

“Pada 2021 kami buat permohonan semula bagi penempatan kampung, namun ditolak pada Mac 2022, setahun kemudiannya.

“Tetapi kita akan buat lagi, dan kali ini nak gunakan bantuan LKIM,” tegasnya, yang turut bekerja sebagai nelayan pantai di kawasan tersebut.

Syahifah Hawa menegaskan, penduduk nekad untuk tidak berganjak dan kekal di kawasan tersebut walaupun kerajaan memberikan tarikh akhir sehingga 16 Julai depan atau berdepan tindakan perobohan.

“Memang kami takkan robohkan, kami ada peguam dan kami minta peguam kami tulis surat dalam tempoh ini untuk kerajaan negeri keluarkan kelulusan untuk kami mengguna tanah kawasan berdekatan.

“Supaya kami senang pindah dan tidak diberi alasan lain untuk dipindahkan lagi ke tempat lain pada masa depan. 

“Maksudnya kami boleh pindah, tapi kerajaan negeri kena keluarkan hitam putih surat kebenaran mengatakan kami berpindah dan diberi kelulusan untuk bina pondok atau apa sahaja, tapi sampai hari ini kami tidak terima apa-apa jawapan,” katanya.

Syahifah Hawa berkata penduduk nekad tidak berganjak dan kekal di kawasan tersebut walaupun kerajaan memberikan tarikh akhir sehingga 16 Julai depan atau berdepan tindakan perobohan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Jun, 2022.

Perkampungan itu mempunyai kira-kira 90 penduduk dengan 48 ketua isi rumah.

Tinjauan The Malaysian Insight ke perkampungan itu mendapati penduduk turut membangunkan chalet, kolam takungan hidupan akuatik, tanaman fertigasi, yang menjadi sebagai sumber pendapatan sampingan sekiranya mereka tidak boleh turun ke laut. 

Selain itu, mereka turut bersama-sama membersihkan kawasan persekitaran pantai daripada sampah-sarap yang di bawa ombak memandangkan lokasi pantainya sering menarik tumpuan pelancong tempatan dan asing.

Syahifah Hawa menegaskan pihaknya kesal dengan layanan diberikan kerajaan Pulau Pinang kepada nelayan kerana mereka seperti tidak diendahkan langsung.

Malah penduduk juga mengadakan pertemuan dengan wakil sekolah dan menyatakan hasrat mereka untuk hidup bersama-sama dengan harmoni namun pihak sekolah tidak bersetuju dengan cadangan penduduk.

“Ini bukan masalah duit langsung. Nelayan tak takut dilambung ombak, nelayan boleh jual ikan kumpul duit, berapa sangat ex gratia kerajaan nak beri, berjumlah RM42,000 untuk unit rumah, nelayan boleh cari RM42,000, kami kena kerja keras sahaja. 

“Kami cuma tak mahu berpindah randah macam orang nomad zaman batu dulu, kami tak mahu jadi pelarian di tempat sendiri.

“Susah sangat ke kerajaan negeri nak jaga nelayan pantai, sedangkan haiwan macam penyu dan tapir kerajaan selalu laungkan memelihara, memulihara, kami ini manusia tapi kenapa kami tak dijaga.

“Adakah kerajaan negeri tak memperakui kewujudan nelayan pantai. Kami ini ibarat penyu hampir pupus,” tambahnya.

Pengunjung dilihat bermain di pantai Tanjung Tokong. Kawasan itu kini sedang ditekan ancaman pembangunan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Jun, 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari dalam respons kepada The Malaysian Insight berkata, pantai yang diduduki penduduk adalah tanah tambak yang merupakan sebahagian daripada konsesi yang telah dianugerahkan sebelum ini.

Penduduk katanya mula mendirikan struktur di atas tanah tersebut bermula 2005 tanpa kelulusan dan tanpa membayar apa-apa kepada pihak berkuasa.

“Harus diingati, semua rizab pantai merupakan tanah kerajaan dan tiada struktur yang dibenarkan untuk dibina melainkan dengan kelulusan kerajaan negeri. 

“Sekiranya ada orang yang ingin menggunakan tanah tersebut, TOL harus diperoleh terdahulu,” kata Zairil Khir.

Beliau juga memberi jaminan, kawasan yang dibangunkan sekolah antarabangsa itu, seperti trek joging dan kawasan sukan air adalah untuk kegunaan umum dan bukan eksklusif kepada pihak sekolah semata-mata.

“Namun perlu ditekankan di sini, pantai itu tidak akan digunakan secara eksklusif oleh sekolah. Ia akan menjadi pantai awam bagi kegunaan semua orang awam termasuk murid-murid sekolah tersebut,” katanya. – 15 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen