Kerajaan Pulau Pinang kecundang jika terus tambak laut, kata peserta himpunan


Zaim Ibrahim

Perhimpunan anjuran Ummah disertai 5,000 orang turut disertai pemimpin serta penyokong Umno dan PAS tempatan yang turut memakai baju dengan lambang parti di Pulau Pinang semalam. – Gambar The Malaysian Insight, 9 September, 2019.

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan kecundang sekiranya tidak menghentikan penambakan laut, kata peserta yang hadir dalam perhimpunan bagi membantah projek tersebut semalam.

Peserta yang mengaku sebagai anak jati Pulau Pinang mendakwa projek itu bukan hanya menjejaskan nelayan tetapi lebih ramai lagi kerana akan meminggirkan golongan berpendapatan rendah.

Salah seorang daripadanya, peniaga Jaafar Osman yang kesal kerana melihat Pakatan Harapan kini berdiam diri dalam memperjuangkan nasib para nelayan terbabit.

“Dulu, PH sering melaungkan tentang hak asasi manusia tetapi kenapa apabila soal hak asasi nelayan, mereka diam diri?” kata Jaafar, 61.

Katanya, perniagaannya di kawasan perairan Permatang Damar Laut itu juga akan terjejas sekiranya masyarakat nelayan tersebut hilang pendapatan.

Sedangkan, gabungan parti itu sebelum ini lantang dalam segala isu melibatkan hak asasi manusia, kata Jaafar yang ditemui dalam perhimpunan di Permatang Damar Laut semalam.

“(Jadi) kita perlu tukar kerajaan untuk pilihan raya akan datang,” katanya dalam perhimpunan anjuran pertubuhan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) itu.

Perhimpunan disertai 5,000 orang turut disertai pemimpin serta penyokong Umno dan PAS tempatan yang turut memakai baju dengan lambang parti.

Ia mengangkat tuntutan nelayan yang membantah projek tambakan laut bagi membina tiga pulau buatan seluas 1,800 hektar di kawasan itu.

Mengulas lanjut, Jaafar berkata beliau percaya kesan penambakan itu akan semakin buruk

“Di perairan Permatang Damar Laut pun dah banyak selut hasil daripada jambatan Pulau Pinang pertama dan kedua.

“Inikan pula kalau bina pulau buatan, selepas 100 tahun pun kesannya akan ada,” katanya.

Seorang lagi peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 56, turut sependapat dan percaya kerajaan perlu ditukar untuk menghalang projek itu.

Baginya, projek itu adalah tidak adil kerana menurutnya anak Pulau Pinang tidak akan mendapat manfaat daripada projek berkenaan.

“Kita bukan halang pembangunan, tetapi siapa yang dapat manfaat daripada projek itu? Kalau anak-anak tempatan ok lah.

“Contohnya penduduk di kawasan terjejas boleh tinggal di rumah itu, boleh bekerja di hotel yang ingin dibina, tetapi sebaliknya yang berlaku,” katanya yang menganggap projek tersebut zalim.

Tiga pulau yang akan dibina melalui tambakan laut itu antara lain bagi menghasilkan kawasan pelancongan, pasaran hartanah, dan juga sebagai tapak industri.

Namun hartanah di kawasan itu tidak akan mampu dimiliki golongan berpendapatan rendah, kata seorang lagi peserta perhimpunan, Mohamad Zoher Mat.

Beliau berpandangan projek itu satu usaha rakus kerajaan negeri untuk menghalau masyarakat berpendapatan rendah keluar dari kawasan berkenaan.

“Projek tambak laut untuk (beri manfaat pada masyarakat) yang berpendapatan tinggi, yang akhirnya memaksa golongan sederhana dan berpendapatan rendah berpindah keluar,” tambahnya.

Pulau itu juga akan dibina sebagai satu pelaburan untuk membiayai projek Pelan Induk Pengangkutan melibatkan pembinaan lebuh raya, kereta api, kereta kabel dan terowong bawah laut. – 9 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen