Ummah mula jelajah di P Pinang, gesa rakyat tukar kerajaan


Zaim Ibrahim

Gerakan Pembela Ummah berkata, sasaran hadirin mereka adalah 1,000 tetapi jumlah yang hadir melebihi sasaran iaitu seramai 5,000 orang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Zainal Halim, 8 September, 2019.

NGO Gerakan Pembela Ummah memulakan kempen jelajahnya di Pulau Pinang dengan seruan agar rakyat negeri itu menukar kerajaan sebagai bantahan ke atas projek tambakan laut.

Pengerusi Pembela Ummah Pulau Pinang Akhir Che Mat berkata, kuasa rakyat dengan menukar kerajaan adalah perlu jika mahu projek tersebut dibatalkan.

“Kita kena faham ini isu politik. Kalau kerajaan yang ada tak boleh dengar suara rakyat, perjuangan nelayan, kita tukarlah.

“Ini negara demokrasi. Rakyat berhak tukar kerajaan jika kerajaan sekarang tidak boleh diharap,” kata beliau dalam sidang media selepas perhimpunan di Permatang Damar Laut hari ini.

Perhimpunan lebih 5,000 orang itu turut menampilkan pemimpin PAS dan Umno peringkat negeri serta Penang Front Party (PFP).

Mengulas kehadiran yang ramai itu, Akhir berkata ia menunjukkan masyarakat semakin menerima perpaduan ummah iaitu kempen yang diusahakan PAS dan Umno.

“Sejujurnya saya sasarkan 1,000 hingga 2,000 orang sahaja tetapi melalui Jabatan Unit Amal Pas, melebihi 5,000. Itu menandakan sokongan rakyat terhadap konsep perpaduan ummah.

Katanya lagi, Ummah tidak menentang pembangunan yang ingin dibawa tetapi berhasrat kerajaan negeri mengkaji semula impak terhadap projek yang dijalankan.

“Kita nyatakan Ummah tidak menolak pembangunan dan Pelan Induk Pengangkutan (PIP). Kita mahu ia dikaji semula.

Kalangan 10 orang pemimpin yang berucap dalam perhimpunan itu antara lain menggesa kerajaan untuk membatalkan projek berkenaan yang didakwa tidak menguntungkan rakyat.

Kalangan nelayan Pulau Pinang menolak projek tambakan laut seluas 1,800 hektar itu kerana bimbang ia menjejaskan tangkapan dan pembiakan ikan.

Tanah dalam projek itu akan dijual untuk membiaya projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) melibatkan lebuhraya, kereta api, kereta kabel dan terowong bawah laut.

Akhir juga berkata, mereka akan berunding dengan exco berkaitan dan serta Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berhubung isu nelayan tersebut.

“Jika tidak dilayan, saya akan cuba bawa ke peringkat pusat,” jelasnya lagi.

Program itu bermula kira-kira jam 1 petang dengan solat Zohor dan ucapan pemimpin.

Pada awal pagi, Ummah turut melancarkan kempen membeli produk orang Islam sebagai salah satu program jelajah mereka.

Kempen NGO itu dijangka diteruskan ke Kedah pada 9 September, Selangor dan Kuala Lumpur pada 16 September dan ke Johor pada 28 September.

Satu lagi kempen lebih besar dijadualkan berlangsung pada 1 Oktober, di lokasi yang akan dimaklumkan kemudian.

Fasa kedua jelajah kempen berkenaan akan meliputi negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu, dan Pahang. – 8 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen