Pulau Pinang tetap tak bubar DUN, tegas Majlis Presiden Pakatan


Mohd Farhan Darwis

Satu kenyataan PH menyebut, majlis tersebut membuat ketetapan Pulau Pinang akan mengikut langkah Selangor dan Negeri Sembilan yang tidak membubarkan DUN masing-masing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2022.

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) memutuskan DUN Pulau Pinang tidak akan dibubarkan walau timbul desakan dari pemimpin DAP untuk berbuat demikian.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata, majlis tersebut membuat ketetapan Pulau Pinang akan mengikut langkah Selangor dan Negeri Sembilan yang tidak membubarkan DUN masing-masing.

“Kita PH dan tiga negeri PH akan bersama buat keputusan bersama tangguhkan pilihan raya negeri supaya tumpuan boleh dibuat menangani masalah banjir,” kata Anwar dalam sidang media hari ini.

Dalam sidang media sama, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata parti itu akur dengan keputusan agar negeri pimpinan PH mengekalkan pentadbiran dan tidak membubarkan DUN.

Ketetapan itu dibuat bagi mengelakkan pihak lawan menjadikan isu tersebut sebagai peluru untuk  menyerang PH, katanya.

“Keputusan PH menghadapi PRU15 amat penting. Kita tak boleh beri gambaran ada keretakan dalam PH. Itu sebabnya saya bersetuju bagi pihak pimpinan DAP.

“Saya diberi mandat oleh Jawatankuasa Pusat (CEC) sebagai wakil parti buat keputusan terakhir. Kita cuba yakinkan untuk bubar tapi ada penghujahan balas dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, isu tersebut dibincangkan sehingga tiga kali di Majlis Presiden dan akhirnya pendirian dibuat untuk menangguhkan pembubaran sehingga tahun depan selepas musim tengkujuh.

Perbincangan itu berjalan selepas Anwar mengumumkan pada 5 Oktober bahawa tiga negeri dikuasai PH tidak akan membubarkan DUN.

Pemimpin DAP khususnya dari Pulau Pinang antara lain membangkitkan bahawa pengundi akan terbeban sekiranya pilihan raya negeri dibuat berasingan dengan PRU15.

Dengan keputusan hari ini, enam negeri tidak akan membubarkan DUN masing-masing dan akan mengadakan pilihan raya negeri berasingan dengan PRU15.

PAS sudahpun memutuskan DUN di tiga negeri dikuasainya – Terengganu, Kelantan, dan Kedah tidak akan dibubarkan.

DUN Sabah, Sarawak, Johor dan Melaka yang baru mengadakan pilihan raya negeri juga tidak akan dibubarkan kerana Dewan masing-masing belum melewati tempoh matang. 

PRU15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada Isnin lalu. – 15 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen