Kematian Revnesh bangkitkan lebih banyak persoalan, kata ibu


Ravin Palanisamy

Ibu bapa N. Revnesh Kumar mendakwa anak mereka berusia 13 tahun itu meninggal dunia kerana vaksin Covid-19 yang diambil, 18 hari sebelum itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2022.

IBU bapa mendiang N. Revnesh Kumar, yang percaya anak mereka maut selepas mengambil suntikan vaksin Covid-19, mempertikaikan Kementerian Kesihatan (KKM) yang lewat menyediakan siasatan penuh terhadap punca kematian itu.

Vijayarani Govindan, ibu kepada remaja berumur 13 tahun itu berkata pegawai kementerian memaklumkannya laporan akhir siasatan itu diserahkan kepada jawatankuasa bebas dan sedang menunggu keputusan untuk tindakan selanjutnya.

Beliau bimbang dengan cara perkara itu diuruskan dan mendakwa tindakan kementerian agak meragukan kerana tidak diberitahu atau dibawa berbincang.

“Bila saya hubungi KKM pada Khamis (29 September), seorang doktor bernama Dr Suriana beritahu mereka sudah terima laporan rasmi dari luar negara tetapi belum boleh lagi mendedahkan maklumat itu kepada kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya diberitahu beberapa pakar daripada jawatannkuasa bebas itu mahu melakukan kajian komprehensif terhadap laporan itu sebelum menyerahkannya kepada kami.

“Bukankah pakar forensik kementerian isytihar kematian anak saya sebagai ‘kematian mengejut’? Saya tertanya-tanya apa pula yang mereka kaji sekarang.

“Kami sebagai ibu bapa sepatutnya dimaklumkan serta merta sebaik saja laporan itu tiba dan apa juga yang akan dilakukan seterusnya perlu mendapat kebenaran kami tetapi mereka tidak minta apa-apa kebenaran atau maklumkan kepada kami hinggalah saya hubungi mereka.

“Tindakan KKM dalam kes anak saya membangkitkan lebih banyak persoalan,” katanya.

Vijayarani berkata beliau menghubungi KKM pada pertengahan September untuk mendapatkan perkembangan terkini laporan itu tetapi mendakwa diberitahu kementerian belum menerima laporan rasmi berkenaan punca kematian Revnesh tetapi hanya memperoleh maklumat secara lisan.

Pada awalnya, Vijayarani berkata beliau dimaklumkan oleh KKM menerusi surat mereka menghantar sampel tisu ke Amerika Syarikat pada 23 Jun dan memerlukan kira-kira 60 hari untuk mendapatkan keputusan.

Vijayarani berkata apabila beliau mempersoalkan kelewatan itu, jawapan yang diterima hanya: “Maaf, kami terlupa”.

Katanya, beliau turut dinasihatkan supaya tidak membawa perkara itu kepada media pada masa ini dan menunggu keputusan jawatankuasa bebas itu.

Revnesh meninggal dunia pada 16 Januari, iaitu 18 hari selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer.

Ravnesh dalam perjalanan ke kelas karate ditemani bapanya, L. Naresh Kumar ketika rebah di dalam lif dan dibawa ke Hospital Kajang di mana dia diisytiharkan meninggal dunia.

Vijayarani dan suaminya mendakwa vaksin itu punca kematian anak lelaki mereka. – 1 Oktober, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen