Korea Utara mulakan kempen vaksin Covid-19 sekitar November


Korea Utara akan mula memberi vaksin Covid-19 kepada penduduknya sekitar November kira-kira sebulan selepas negara itu mengisytiharkan "kemenangan" melawan virus berkenaan.  – Gambar EPA, 9 September, 2022.  

KOREA Utara akan mula memberi vaksin Covid-19 kepada penduduknya sekitar November, kata media kerajaan hari ini kira-kira sebulan selepas negara itu mengisytiharkan “kemenangan” melawan virus berkenaan. 

Ini adalah kali pertama rejim terpencil secara rasmi mengumumkan rancangannya untuk vaksinasi sejak permulaan wabak itu.

“Seiring dengan pemberian vaksin, kami juga menyarankan semua rakyat agar memakai topeng pelitup muka bagi melindungi kesihatan mereka sendiri mulai November,” kata pemimpin Kim Jong Un menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) di Pyongyang.

Pakar kesihatan di negara itu percaya paras antibodi Korea Utara - yang diperoleh semasa wabak yang disahkan oleh negara itu pada Mei akan menurun menjelang Oktober, tambah Kim.

Laporan KCNA hari ini tidak menjelaskan dari mana vaksin itu berasal.

Negara itu pada tahun lalu menolak penghantaran vaksin AstraZeneca yang diatur oleh skim Covax Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana kebimbangan terhadap kesan sampingan, menurut kumpulan pemikir Korea Selatan.

Negara itu yang mengekalkan sekatan tegar sejak permulaan wabak mengesahkan varian Omicron di ibu negara Pyongyag kira-kira empat bulan lalu.

Pemimpin Kim yang jatuh sakit semasa wabak itu mengisytiharkan “kemenangan” melawan virus itu bulan lalu dan mengarahkan “sistem pencegahan wabak kecemasan maksimum” negara itu ditarik balik kerana kes yang dilaporkan secara rasmi jatuh kepada sifar.

Dipercayai negara itu tidak memberi vaksin kepada mana-mana 26 juta penduduknya tetapi laman web pakar yang berpangkalan di Seoul NK News melaporkan Pyongyang mungkin menerima beberapa daripada sekutu utamanya China.

Korea Utara merujuk kepada “pesakit demam” dan bukannya “pesakit Covid-19” dalam laporan kes, disebabkan kekurangan kapasiti ujian.

Ia telah merekodkan hampir 4.8 juta jangkitan “demam” dan hanya 74 kematian untuk kadar kematian rasmi sebanyak 0.002%, menurut media kerajaan. 

Pakar termasuk WHO sudah lama mempersoalkan statistik Covid-19 di Pyongyang.

Korea Utara mempunyai salah satu sistem penjagaan kesihatan yang paling teruk di dunia dengan hospital yang kurang kelengkapan, beberapa unit rawatan rapi dan tiada ubat rawatan Covid-19, menurut pakar. – AFP, 9 September, 2022.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen