China lulus vaksin Covid-19 jenis sedut pertama di dunia


Vaksin Covid tanpa jarum pertama dunia itu yang dihasilkan pengeluar CanSino Biologics boleh disimpan dan diberikan dengan lebih mudah daripada suntikan intramuskular. – Gambar EPA, 5 September, 2022.

BADAN pengawal selia ubat China meluluskan vaksin Covid-19 jenis mudah sedut pertama di dunia dihasilkan pengeluar CanSino Biologics yang berpangkalan di Tianjin sekali gus melonjakkan harga saham syarikat itu sebanyak tujuh peratus hari ini.

Pentadbir Produk Perubatan Kebangsaan memberi kebenaran untuk vaksin tersebut bagi kegunaan kecemasan sebagai penggalak, kata syarikat itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Saham Hong Kong semalam.

Berikutan pengumuman itu, saham syarikat melonjak 14 peratus pada pagi Isnin sebelum ditutup 7.1% lebih tinggi daripada nilai pembukaannya.

Vaksin tanpa jarum – yang boleh disimpan dan lebih mudah diberikan berbanding suntikan intramuskular – akan diberikan melalui nebuliser, kata syarikat itu.

“Kelulusan itu akan memberi impak positif kepada prestasi syarikat sekiranya vaksin itu kemudiannya dibeli dan digunakan agensi kerajaan berkaitan,” tambah kenyataan itu.

Bagaimanapun, syarikat itu tidak mendedahkan butiran mengenai bila vaksin vektor adenovirus itu akan disediakan untuk kegunaan awam.

Tiada data yang disahkan atau semakan tersedia untuk rujukan umum mengenai keberkesanan vaksin baharu.

Kebanyakan saintis di beberapa negara termasuk Cuba, Kanada dan Amerika Syarikat juga sedang mencuba vaksin Covid-19 yang boleh disedut.

China setakat ini meluluskan lapan lagi vaksin jenis suntikan buatan tempatan sejak 2020.

Tetapi pentadbir ubat negara itu masih belum memberi kelulusan kepada mana-mana vaksin asing, termasuk mRNA yang dihasilkan Pfizer/BioNTech atau Moderna. – AFP, 5 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen