SEMUA transaksi dan dana yang diperoleh daripada lukisan ‘Langkah Sheraton’ yang dijual secara digital adalah sah, kata Tony Pua.
Penjelasan itu dibuat selepas sesi dialog ahli Parlimen Damansara itu dengan beberapa komuniti non-fungible token (NFT) semalam, yang mendakwa terdapat beberapa transaksi “cerdik” berkaitan lukisan Langkah Sheraton yang dijual di pasaran digital.
Pengendali Twitter @pedagang_eth, yang membangkitkan perkara itu sebelum ini, turut menulis tweet semalam bahawa beliau dan orang lain yang hadir pada pertemuan itu berpuas hati dengan penjelasan terbuka dan telus yang diberikan Pua.
“Kami berpuas hati bahawa walaupun kaedah yang digunakan agak ganjil, ia bukan satu penipuan,” katanya menerusi Twitter.
Terdahulu, ahli Parlimen DAP itu menyiarkan kenyataan di Facebooknya yang mengatakan bahawa beliau telah menunjukkan kepada komuniti NFT perbualan Whatsappnya (dengan nama yang disunting) tentang cara dia memasarkan NFT dan maklum balas yang diterima daripada penyokong.
“Kami turut mengalu-alukan penelitian terhadap setiap transaksi dengan menunjukkan wang tunai yang telah dipindahkan atau didepositkan dalam akaun bank DAP Malaysia melalui penyata bank kami, dan juga slip bank-in.
“Anda tidak boleh menjadi lebih telus daripada itu.
“Ini adalah untuk membuktikan bahawa urus niaga atau pembelian itu adalah tulen, dan tidak ada cetakan palsu atau untuk menipu orang ramai bahawa NFT telah habis dijual,” tambahnya.
NFT ialah aset kriptografi pada rantaian blok yang dikaitkan dengan aset digital atau fizikal tertentu.
Pemilikan NFT direkodkan dalam blockchain dan boleh dipindahkan oleh pemilik, membolehkan NFT dijual dan didagangkan.
Lukisan Langkah Sheraton Pua berjaya mengumpul RM1.3 juta untuk DAP ketika ia bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Wang itu diperoleh selepas 8,888 salinan lukisan digital itu dijual dalam tempoh kurang 28 jam berikutan jualan pelancaran awam pada 31 Ogos. – 10 September, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen