Masjid yang harus dibakar


Faisal Tehrani

MINGGU lalu saya menulis di kolum ini, 10 sebab mengapa si dia tidak wajar diampunkan.

Pendek kata, kesalahan yang dilakukan itu adalah terhadap Rakyat. Tiada siapa yang berhak mengampunkan kleptokrat — selain Rakyat. Diulang, tiada siapa.

Baru-baru ini sebuah masjid yang dikatakan peruntukannya diberi oleh pemuka kleptokrat telah dirasmikan. Ramai yang memuji-muji jasa dan sumbangan beliau.

Hal ini mengingatkan saya kepada segala bakti dan darjah kebesaran Abu Lahab yang melakukan pelbagai sumbangan, korban, nazar dalam membangunkan prasarana untuk jemaah haji ketika era jahiliah.

Abu Lahab antara pemuka dan bangsawan musyrikin Mekah yang aktif meladeni kehendak dan keperluan orang berhaji di Tanah Haram.

Bukan calang-calang jasanya, dia menjaga kepentingan orang berhaji. Demikian hebat peranannya itu kita semua tahu ada raja yang iri hati dan menghantar tentera untuk menggugat Kaabah.

Namun sekian apa yang dilakukan Abu Lahab ini tidak ada hebatnya pada mata Tuhan Yang Maha Adil. Memberi jemaah haji minum tidak terpandang sama sekali.

Ia tidak memadam fakta bahawa Abu Lahab itu bangsawan kapitalis pelahap dan rakus.

Memang Abu Lahab punya tunggang kapital bukan dengan cara menjual pasir, menanam durian raja atau membalak. Sebab itu semua pun tak ada di Hijaz ketika itu. 

Abu Lahab dinilai sebagai penindas. Jahat Abu Lahab tidak terbanding. Dia memiliki hamba yang diperlakukan seperti binatang. Bini-bininya yang ramai itu dikepung di kediamannya dan anak-anak perempuannya ditanam. 

Lebih pokok, Abu Lahab itu korup. Dalam sejarah umat manusia benda paling dimurkai Allah ialah korup. Iblis korup. Qabil korup. Namrud korup. Qarun korup. Firaun korup.

Siapa yang boleh mengampunkan korupsi dan sang koruptor?

Persoalan Abu Lahab adalah persoalan moral dan akhlak yang buruk, malah bukan sahaja buruk; tetapi jahanam.

Kita semua tahu dosa terbesar Musyrikin Mekah adalah mereka melakukan korupsi, selain bersyirik iaitu menganggap ada manusia atau benda ciptaan lain yang lebih utama mengatasi Allah.

Dan, Abu Lahab itu dia dikatakan punya dendam terhadap seorang Abdullah. Yang Abdullah ini adalah Abdullah yang bersama orang tertindas. Meskipun dia serupa juga bangsawan. 

Abdullah inilah yang kelak mengahwini isterinya, Aminah dan mengurniakan kita puncak lojik, puncak akhlak, puncak adab, puncak kemuliaan, iaitu raja kepada segala raja yang merupakan penamat kenabian. Yang Aminah ini pula adalah wanita suci yang tidak dilimpahi kemewahan tetapi keredaan.

Abu Lahab sebagai antagonis dijanjikan kecelakaan dengan api dari neraka. Sebab apa? Tidak lain tidak bukan kerana dia seorang koruptor. Kalau hanya dia tidak mahu beriman, mungkin tidak jadi apa.

Sebab Islam tetap meraikan mereka yang tidak mahu beriman, mereka hanya dianggap golongan yang rugi di hari akhirat. Akan tetapi Abu Lahab tetap dijanjikan untuk dibakar sebab dia korup.

Korupsi dengan itu jauh lebih babi daripada kekufuran. Dia malah melakukan tipu daya untuk memperlihatkan korup itu tidak macam korup, malah macam hasanah. 

Justeru apabila sebuah masjid yang dikatakan peruntukannya diberi oleh kleptokrat telah dirasmikan dan ramai yang memuji-muji jasa dan sumbangan beliau, saya teringat kisah Masjid Dhirar. 

Dalam sejarah Islam, Masjid al-Dhirar adalah skandal yang besar. Masjid ini juga dirujuk sebagai masjid munafiq atau masjid mabul dan didirikan tidak jauh dari Masjid Quba dengan tujuan menyaingi masjid pertama dalam Islam tersebut. 

Nabi Muhammad SAW beroleh wahyu mengenai kenistaan masjid ini dalam perjalanan ke medan Perang Tabuk.

Hanya selepas kepulangan baginda, pembakaran masjid tersebut disabdakan. Tentu, tindakan itu boleh menimbulkan banyak pertanyaan. Takkan Nabi menyuruh masjid dibakar?

Dalam riwayat yang dinukilkan ulama dan para sarjana, masjid ini dibina oleh 12 orang munafik daripada golongan Ansar atas arahan Abu ‘Amir al-Rahib.

Pada mulanya baginda ditawarkan untuk merasmikan masjid ini. Akan tetapi wahyu Allah turun memahamkan Rasulullah agenda jahat kaum munafik.

Maka, baginda mengarahkan orang-orang baginda meruntuh dan membakar masjid tersebut.

Peristiwa pembakaran masjid atas nama korupsi ini direkodkan dalam Surah At-Taubah ayat 107 dan 110.

As-Syahid Syeikh Dr Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buthi dalam magnum opusnya, “Fiqhus Sirah”, menyatakan masjid ini adalah puncak tipu daya orang-orang munafik dan usaha memutar belitkan Islam dengan penuh helah yang lambat laun boleh mengancam mesej Islam dan utusan Allah, Nabi Muhammad. 

Ini mendorong baginda mengambil tindakan tegas berdasarkan wahyu dari Tuhan, iaitu membakarnya. Bukan pula memuji dan merasmikannya.

Jadi masjid ini cita-citanya bukan untuk ibadah. Objektif masjid ini adalah untuk menutupi korupsi golongan munafik.

Masjid al-Dhirar ini sepenuhnya adalah masjid dengan sebab mudarat. Tidaklah menghairankan jika Nabi Muhammad saw mengarahkan umat Islam waktu itu membakar masjid tersebut. 

Tentu, pemusnahan masjid ini dilakukan dengan sedar. Ini kerana silap hari bulan ia boleh menjadi krisis politik. Bagaimana ingin dijelaskan Nabi menyuruh sahabatnya membakar sebuah masjid? 

Tetapi itu tetap berlaku, sebab Masjid al-Dhirar adalah masjid korup. Masakan tergamak sembahyang di dalam masjid atas nista dan penindasan?

Nasihat saya ialah jika kita betul rasa kita memahami agama Islam, malah rasa diri kita seperti ketua dalam agama ini (kan ramai yang mengetuai Islam hari ini menurut wewenang sendiri?) maka saya ingin menasihatkan diri mereka termasuk diri saya sendiri agar mengenal sirah Nabi.

Seperti kes Abu Lahab dan kaum munafik, menjadi seorang koruptor atau melakukan korupsi memang tidak terampunkan.

Apatah lagi jika penyelewengan yang dilakukan itu menimpa kita, maka kita yang lebih berhak mengampunkan. 

Jika kita itu termasuk saya, maka mudah bicara saya memang enggan memaaf atau mengampunkan. Kerana saya menolak Abu Lahab dan Abdullah bin Ubai — dua tokoh korup.

Korupsi itu memangnya jauh lebih babi daripada kekufuran. Abu Lahab dikutuk al-Quran dan dibakar api neraka. Masjid yang dibina atas dasar korup juga dikutuk dan dibakar api dunia. 

Nah, siapa antara kita yang ingin menyusul mereka? Cuba, siapa? – 6 September, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen