3 maut letupan di masjid Kabul


Seramai 24 mangsa letupan di masjid Kabul, Afghanistan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. – Gambar EPA, 18 Ogos, 2022.

SATU letupan berlaku di sebuah masjid yang dipenuhi jemaah di ibu negara Afghanistan, Kabul pada Rabu, membunuh sekurang-kurangnya tiga orang dan mencederakan puluhan yang lain, kata pihak hospital dan pegawai.

Letupan berlaku ketika orang ramai sedang menunaikan solat magrib di masjid itu, yang terletak di daerah barat laut Kabul.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Itali Emergency, yang mengendalikan sebuah hospital di Kabul, berkata ia menerima 27 mangsa letupan itu, termasuk tiga kematian.

“Kami merekodkan tiga kematian,” kata Emergency kepada AFP melalui e-mel.

“Kebanyakan pesakit yang kami terima susulan letupan di dalam masjid mengalami kecederaan tempurung dan melecur.”

Jurucakap kerajaan Taliban Zabihullah Mujahid mengesahkan terdapat kematian dan cedera dalam letupan itu, tetapi tidak menyatakan bilangannya.

“Pembunuh orang awam dan penjenayah… akan segera dihukum atas jenayah mereka,” katanya di Twitter.

Letupan pada Rabu berlaku hampir seminggu selepas serangan bunuh diri yang mengorbankan seorang ulama terkemuka Taliban di madrasahnya di Kabul.

Pada 11 Ogos, seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya di dalam madrasah ulama Rahimullah Haqqani, yang terbunuh bersama abangnya.

Kumpulan militan Isis mengaku bertanggungjawab bagi serangan itu.

Sejak Taliban merampas kuasa setahun lalu, terdapat penurunan ketara kejadian keganasan di seluruh negara.

Bagaimanapun, Isis kerap melakukan serangan, terutamanya menyasarkan komuniti minoriti seperti Syiah, Sufi dan Sikh. – AFP, 18 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen