10 dalil mengapa si dia tidak wajar diampunkan


Faisal Tehrani

SEBAGAI orang yang sempat menetap di luar negara – di negeri tetangga – dan bukan pula dalam kalangan raja atau anak pemimpin negara, saya selalu mendengar agar diampunkan sahaja si dia atas kesalahan yang dilakukannya iaitu jenayah menyeleweng dana lebih RM40 juta.

Saya kurang arif akan proses mengampunkan beliau ini. Maka saya tidak akan mengulas mengenainya.

Cuma berdasarkan pasang telinga dan cakap-cakap sebagai bukan bangsawan dan bukan pula anak pemimpin Umno, ada sekurang-kurangnya 10 dalil mengapa si dia tidak wajar diampunkan.

Pertama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak patut mengampunkan si dia meskipun beliau telah beroleh darjah kebesaran bergelar Dato’ Sri 1985) dan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Dihormati (2010) dari Pahang.

Ini kerana saya berpendapat ia akan menjejaskan imej negara di luar, yang mana orang akan melihat negara kita tidak menghormati kedaulatan undang-undang.

Hal ini dapat diyakini berdasarkan banyaknya laporan berita yang memuji penghakiman akhir Mahkamah Persekutuan untuk memenjarakan si dia dengan denda lebih RM210 juta. Misalnya laporan media asing The Economist bertarikh 25 Ogos menyebut hukuman tersebut sebagai satu kejayaan besar untuk Malaysia dalam mendaulatkan undang-undang.

Pengampunan si dia ini akan menghantar mesej yang salah kepada dunia. Malah akan memalukan negara. Mana kita akan letak muka?

Kedua, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak patut mengampunkan si dia meskipun beliau telah beroleh darjah kebesaran bergelar Dato’ Seri Utama (2008) dari Kedah; ini kerana ia akan membawa kepada pandangan serong mereka bukan Islam yang Islam dan ketua agamanya dapat bersikap lunak terhadap jenayah awam yang mana ia merupakan satu perbuatan pecah amanah menurut kaca mata Islam.

Apabila saya mengatakan jenayah awam ia bermakna ia adalah jenayah yang menyebabkan kita semua rakyat baik Umno dan PAS atau tidak Umno dan PAS akan terkesan olehnya. Ini berbeza dengan jenayah kesalahan meliwat, minum arak atau melakukan onani misalnya yang lebih berbentuk kepada dosa peribadi.

Islam mengutuk jenayah awam dan ini merupakan dosa yang sukar diampunkan melainkan setiap kita yang terkesan oleh perbuatan tersebut merelakannya. Harus diingatkan yang kesalahan itu dibuat terhadap rakyat maka yang berhak mengampunkannya ialah rakyat.

Dalam Islam, kemurkaan umat atau rakyat tidak wajar dipandang enteng oleh pemimpin negara.

Ketiga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak patut mengampunkan si dia meskipun beliau telah beroleh darjah kebesaran bergelar Dato’ (2004) dari Kelantan; ini kerana titah Al-Sultan Abdullah sendiri pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat ada menyatakan yang isu rasuah harus diberi perhatian terutamanya dalam membina sebuah negara bangsa yang telus dan berintegriti.

Selain itu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga pernah bertitah sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-93 bahawa agama Islam dan semua agama di dunia mengutuk dan mencela amalan rasuah kerana ia adalah bagai sebuah barah yang boleh menghancurkan sebuah tamadun.

Baginda bahkan menggesa para mahasiswa yang bakal mewarisi tamadun negara hendaklah ditanam dan dibentuk dengan nilai jati diri yang tinggi serta karakter individu yang sentiasa jujur dan amanah.

Sebarang pengampunan  untuk penjenayah rasuah akan membawa isyarat yang bercampur aduk dan akan meletakkan saranan dan seruan positif di atas di bawah telapak kaki generasi muda ini kerana kita yang tua-tua ini tiada keseriusan.

Keempat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak patut mengampunkan si dia meskipun beliau telah beroleh darjah kebesaran dengan gelar Datuk Seri Utama (2007) dari Melaka; ini kerana baginda sendiri di Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara tersebut ada memetik “sebagaimana catatan sejarah Melayu ‘Sulalatus Al-Salatin’, Tun Sri Lanang meriwayatkan bagaimana runtuhnya kerajaan Melaka yang terbina ratusan tahun lamanya akibat perbuatan rasuah Bendahara Maharaja.”

Jika pesalah rasuah dan korupsi diampunkan, ia akan membawa kepada tanggapan cakap tidak serupa bikin dan ini bukanlah suatu hal yang bermanfaat untuk kita seluruh rakyat. Ia juga bermakna kita tidak belajar dari teladan sejarah.

Kelima, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak patut mengampunkan si dia meskipun beliau telah beroleh darjah kebesaran Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) membawa gelar Dato’ Seri Utama (2009) dari Pulau Pinang kerana ia akan membuatkan negara kita menjadi pariah dari segi aspek Indeks Persepsi Rasuah (CPI). 

Ini kerana menurut indeks 2018, yang diumumkan pada 29 Januari 2019 telah memperlihatkan kedudukan Malaysia berada di tangga 61 dari 180 negara berbanding kedudukan ke-62 pada 2017. Skor dalam CPI ditentukan mengikut tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara berdasarkan skala sifar (dianggap paling rasuah) kepada 100 (paling bersih).

Pengampunan si dia akan terus melorotkan kita di dalam indeks ini. Mana kita hendak letak muka?

Keenam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak patut mengampunkan si ‘big foodie‘ ini meskipun beliau telah beroleh darjah Dato’ Seri Paduka Sultan Azlan (SPSA) membawa gelaran Dato’ Seri Diraja (2004) dari Perak lantaran Timbalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dari negeri Perak iaitu Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selalu memberi perhatian kepada isu-isu berkaitan korupsi dan rasuah dalam titah baginda yang mana antara lain Sultan Nazrin pernah bertitah sempena ulang tahun penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR/SPRM) Ke-47 pada 2014.

Dalam titah itu baginda berpesan bahawa mana-mana pesalah rasuah, korup, penyangak dan perompak jangan diberi muka sama sekali. Ini kerana pada tahun 2014 itu baginda Timbalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah bertitah; “Usaha memerangi rasuah wajib memberi fokus kepada dua aspek. Aspek pertama langkah punitif yang tegas dan tidak selektif’, dilaksanakan tanpa gentar – tanpa pilih kasih; aspek kedua: Langkah preventif untuk mengukuhkan integriti.”

Kata ‘tegas dan tidak selektif’ ini dalam erti kata lain memang bermaksud tidak mengampunkan mana-mana pesalah rasuah.

Ketujuh, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak patut mengampunkan si ’caramel machiato’ meskipun beliau telah beroleh darjah Dato’ Seri Diraja (2007) dari Perlis kerana ini akan kelihatan bertentangan sekali dengan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-79 di Istana Arau Mei 2022 lalu ada menyebutkan yang kemajuan negara tidak dapat dicapai sekiranya amalan rasuah berleluasa dalam kehidupan seharian masyarakat.

Bahkan baginda Raja Perlis bertitah, perbuatan seperti meminta, menawar, memberi dan menerima rasuah adalah salah di sisi agama dan undang-undang negara; “Amalan rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial dan seterusnya boleh mengancam kesejahteraan negara,”. Tidak manis tentunya mengampunkan seorang pesalah rasuah yang terang-terang korup.

Kelapan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak patut mengampunkan si dia meskipun beliau telah beroleh darjah Datuk Seri Panglima (2002) dari Sabah kerana ia akan menimbulkan tanda tanya ekoran sudah ada tanggapan tidak sihat daripada segelintir pihak bahawa terdapat satu bentuk hubungan yang akrab dengan si dia itu.

Misalnya pada Mei lalu Ambiga Sreenevasan, aktivis demokrasi secara berani dan telus berkata ‘amat dikesali bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
 Billah Shah menyenaraikan orang tertentu ’sebagai tetamu baginda’ di istana.

Jika si dia diampunkan ini akan menguatkan tanggapan-tanggapan tidak sihat dan hal ini seakan mengesahkan pula perkara tersebut.

Hal ini tentulah tidak manis sama sekali.

Kesembilan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak patut mengampunkan si dia meskipun beliau telah beroleh darjah kebesaran membawa panggilan Dato’ Sri (1990) dan Datuk Patinggi (2008) dari negeri Sarawak kerana pada 6 Mei 2019 baginda sendiri yang berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat di Istana Negara dan memberi darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’ kepada Tengku Maimun sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada 17 Ogos 2020 dahulu.

Sebarang pengampunan terhadap Najib akan membawa surat yang amat tersirat dan pelik apabila baginda sendiri bersalahan dengan Ketua Hakim yang dilantik itu.

Kesepuluh, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak patut mengampunkan si dia kerana terdapat dua negeri yang menggantung atau menarik
balik gelar dan darjah kebesaran Najib Razak iaitu negeri Selangor yang menggantung darjah Dato’ (1992) pada 6 Mei 2019 dan gelar Dato’ Seri (2004) pada tarikh yang sama. Manakala Negeri Sembilan pula telah menarik balik darjah kebesaran dan gelar Dato’ Seri Utama (2005) pada 26 Oktober 2018.

Jelaslah pengampunan si dia ini akan menghantar mesej yang salah kepada dunia. Malah akan memalukan negara.

Soalnya mana kita akan letak muka?

Akan tetapi ini hanyalah pandangan kecil orang yang sempat menetap di luar negara – di negeri tetangga – dan bukan pula dalam kalangan raja atau anak pemimpin negara.

Ini hanyalah pendapat, yang bak kata orang putih di negeri London suatu ‘freedom of expression’. – 30 Ogos, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen