SEORANG terbunuh dan sembilan yang lain hilang selepas sebuah pesawat kecil terhempas di pantai Washington hari ini, kata pengawal pantai.
Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) berkata pihaknya menerima laporan mengenai nahas itu sekitar 3.11 petang (waktu AS) dan menghantar helikopter serta bot untuk meninjau kawasan tersebut.
Pegawai mencari dan menyelamat tempatan turut berada di tempat kejadian.
“Mangsa yang maut ditemui pasukan mencari dan menyelamat di tempat kejadian. Sembilan individu masih belum dapat dikesan, dan zon keselamatan dikuatkuasakan untuk membantu memudahkan usaha mencari,” kata pengawal pantai dalam satu kenyataan, sambil menambah punca nahas masih belum dapat dikenal pasti.
Dua kapal akan “kekal di tempat kejadian sepanjang malam bagi mencari 9 individu di dalam pesawat laut itu,” tulis pengawal pantai itu di Twitter.
Pesawat itu terhempas ketika terbang di Lautan Pasifik ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Renton berhampiran Seattle.
Menurut laman web penjejak penerbangan, Flight Radar 24, syarikat itu sedang memantau laporan nahas tersebut.
Mengikut rekod, isyarat terakhir dikesan daripada kapal terbang jenis de Havilland Canada DHC-3 Otter berusia 55 tahun – pesawat enjin kipas tunggal – yang terbang di kawasan terbabit pada 3.08 petang pada ketinggian 30.5 meter.
Pada mulanya, bahagian Pengawal Pantai AS menulis tweet lapan orang dewasa dan seorang kanak-kanak berada di dalam pesawat itu. Pasukan itu kemudiannya mengemas kini tweet, yang mana mereka sedang mencari 10 penumpang. – AFP, 5 September, 2022.
Komen