Iran harap perubahan dasar AS selepas kemenangan Biden


Naib Presiden Iran Eshaq Jahangiri berharap kemenangan Joe Biden akan bawa perubahan dalam dasar AS.– Gambar EPA, 8 November, 2020.

KEMENANGAN Joe Biden dalam pilihan raya presiden diharapkan akan membawa perubahan kepada dasar-dasar Amerika Syarikat (AS), kata Naib Presiden Iran Eshaq Jahangiri semalam.

“Saya berharap kita akan dapat melihat perubahan dalam dasar Amerika yang membawa kemusnahan, dan kembali kepada undang-undang dan komitmen antarabangsa serta menghormati negara lain,” katanya menerusi catatan di Twitter.

“Era (Donald) Trump dan pasukannya yang penuh dengan hasutan sudah berakhir.”

Donald Trump yang tewas pada pilihan raya presiden AS kepada pencabarnya Joe Biden, telah mengenakan “sekatan maksimum” ke atas Iran selepas menarik diri dari perjanjian nuklear dengan Tehran pada 2018.

Sekatan tersebut mensasarkan industri minyak Iran, selain menyekat pendapatan Tehran di luar negara dengan menyenarai hitam sektor perbankan Iran.

“Rakyat Iran tidak akan lupa keperitan hidup mereka, kekurangan kemudahan perubatan dan pembunuhan jeneral Qasem Soleimani,” tambah Jahangiri.

Soleimani, yang mengetuai pasukan elit Pengawal Revolusi Qods, terbunuh dalam serangan udara AS berhampiran lapangan terbang Baghdad pada Januari.

Presiden Iran Hassan Rouhani semalam berkata beliau berharap pengalaman Tehran ditekan oleh Trump selama tiga tahun akan jadi pengajaran kepada pentadbiran presiden baharu AS bahawa Iran akan terus menentang Washington.

Pemimpin utama Iran Ayatollah Ali Khamenei pada Selasa lalu berkata pilihan raya AS tidak akan memberi kesan ke atas dasar Tehran terhadap Washington.

Biden semasa kempennya berkata beliau bercadang untuk berdiplomasi dengan Iran dan mungkin akan kembali semula kepada perjanjian nuklear 2015, yang dirunding semasa beliau jadi naib presiden semasa pentadbiran Barack Obama.– AFP, 8 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen