Malaysia boleh jadi lebih baik, kata pakar


Gan Pei Ling

Bekas Pembantu Setiausaha Agung PBB Jomo Kwame Sundaram yang juga ahli ekonomi terkenal mengatakan banyak kemajuan dicapai Malaysia tetapi beberapa isu terus mencengkam menyebabkan masih banyak masalah tak selesai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 25 Februari, 2018.

MALAYSIA sudah mencapai kemajuan signifkan dalam banyak aspek pembangunan sejak merdeka tetapi beberapa isu masih kekal wujud dan perlu ditangani bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat terutama dalam kumpulan berpendapatan rendah, kata ahli ekonomi terkenal.

Bekas Pembantu Setiausaha Agung PBB Jomo Kwame Sundaram dalam satu forum di Kuala Lumpur hari ini mengatakan rakyat Malaysia pada masa kini sekurang-kurangnya mempunyai kelulusan sekolah menengah dan pengasingan kaum mengikut pekerjaan hampir terhapus.

Pada masa sama, ekonomi Malaysia sudah berubah daripada jenis ekonomi sangat bergantung kepada eksport getah dan bijih timah kepada ekonomi pelbagai industri.

“Tidak dapat dinafikan ekonomi kita sudah berubah. Kita makin kurang bergantung kepada pertanian, walaupun ia masih industri yang sangat penting.

“Industri pengeluaran kita pula berkembang tetapi kini sedang berdepan masalah, jadi sekarang kita banyak bergantung kepada sektor perkhidmatan untuk pertumbuhan, terutama perkhidmatan tradisional berbanding perkhidmatan moden,” kata Jomo pada forum ekonomi dianjurkan Islamic Renaissance Front di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

“Nisbah pendapatan isi rumah antara kaum yang jadi ketaksuban Malaysia juga sudah banyak mengecil,” katanya.

Misalnya, jurang pendapatan isi rumah antara Melayu dan Cina berkurangan secara signifikan daripada 2.29 pada 1970 kepada 1.40 pada 2016 berdasarkan statistik rasmi.

Malaysia juga mengalami proses urbanisasi pesat, daripada 19% pada 1957 kepada 73.5% pada 2015.

Bagaimanapun, Jomo mengatakan upah kekal rendah disebabkan jumlah pekerja kurang mahir tinggi, tenaga asing murah dan hutang isi rumah Malaysia antara yang tertinggi di Asia

Malaysia meningkatkan upah minimum untuk Semenanjung kepada RM1,000 dan RM920 untuk Sabah dan Sarawak tahun lepas tetapi pengkritik menyifatkannya masih terlalu rendah.

Jomo menambah situasi merisaukan dihadapi negara buat masa kini adalah majoriti rakyat Malaysia tidak mampu bersara.

Apabila ditanya sama ada subsidi untuk penduduk miskin tidak baik untuk ekonomi, Jomo mengatakan kerajaan juga menyediakan subsidi kepada golongan berpendapatan tinggi tetapi ia dipanggil insentif.

“Malah di Hong Kong, salah sebuah negara termaju ekonomi kapitalis ada menyediakan subsidi dan insentif. Persoalannya bukanlah ia baik atau buruk, tetapi sama ada ia disalah guna atau tidak,” katanya.

Pada 2010, pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak menghapuskan subsidi petrol, diesel, gas petroleum cair dan barang makanan asas seperti gula, tepung gandum dan minyak masak.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan yang penghapusan subsidi dan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015 membebankan kumpulan pendapatan rendah di kawasan bandar dan luar bandar.

Jomo mengatakan kerajaan memotong jumlah peruntukan subsidi hampir separuh daripada RM43.3 bilion pada 2013 kepada RM24.6 bilion pada 2016 tetapi peruntukan yang disalurkan untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jika dibandingkan dengan jumlah potongan itu masih terlalu kecil. – 25 Februari, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen