TUJUH juta penerima bantuan tunai kerajaan persekutuan, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan mendapat bayaran pertama bagi 2018 melalui akaun bank mereka pada bulan ini.
Apa yang mereka buat dengan duit itu tergantung masing-masing, sama ada bujang atau sudah ada tanggungan, serta keperluan mereka dan apakah ada menerima bantuan lain daripada kebajikan, pencen atau anak-anak yang bekerja.
Tinjauan rambang The Malaysian Insight di seluruh Malaysia mendapati kebanyakan penerima BR1M menganggap bantuan tunai itu sebagai “sangat membantu” atau satu bonus.
Tetapi mereka juga mengaku bantuan tunai itu tidak memberi penyelesaian jangka panjang kepada masalah kos sara hidup yang meningkat.
Bantuan kewangan itu mereka gunakan untuk membayar tanggungan tertentu atau dibelanjakan untuk sambutan perayaan. Mereka yang ada anak akan mendahulukan keperluan anak.
Selain itu, kebanyakan mereka juga mendedahkan bantuan tunai tersebut digunakan untuk barangan dapur dan keperluan harian. Hanya segelintir yang mengaku menggunakannya untuk keraian diri sendiri.
Ada juga yang mengaku bantuan tunai itu jadi penyambung nyawa dan berharap jumlahnya lebih lagi daripada yang sedia ada.
Sesetengah yang ditemui The Malaysian Insight tidak begitu kisah ada atau tidak bantuan tunai itu kerana jumlahnya dan agihannya secara berperingkat tidak begitu dirasai membantu perbelanjaan mereka.
Tetapi seperti kata seorang suri rumah, “kalau orang dah nak bagi duit, siapa tak nak?”
BR1M yang keseluruhannya berjumlah RM6.8 bilion akan dilunaskan dua kali lagi pada Jun dan Ogos.
Peruntukan untuk BR1M bagi tahun ini sama seperti yang tahun lalu. Ini kali pertama peruntukannya tidak dinaikkan sejak bantuan tunai itu diperkenalkan oleh Putrajaya pada 2012 dengan kadar RM500 bagi isu rumah berpendapatan tidak lebih RM3,000 sebulan.
Sejak itu, idea Perdana Menteri Najib Razak ini diperbaiki dengan merangkumi mereka yang berpendapatan RM2,000 dan ke bawah (sekali bayaran RM450), isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 (RM900 setahun) dan isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah (RM1,200 setahun).
BR1M dikritik oleh pembangkang dan pemimpinnya, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, sebagai helah untuk membeli sokongan kepada Barisan Nasional. Dr Mahathir yang mengetuai Pakatan Harapan dalam kecamannya terhadap Najib sering menyebut “wang adalah segala-galanya”.
Noriah Mahmud, 53, yang merupakan peniaga, tinggal di Tumpat, Kelantan, empat sekeluarga. Pendapatan sebulan kurang RM3,000.
“Duit BR1M ini saya guna untuk beli barang makanan, keperluan asas macam gula, minyak dan tepung.
“Bolehlah untuk bantu sikit-sikit beli barang dapur, biasa dalam seminggu dah habis duit itu.”
Azizah Mohamad, 50, penjual buah, tinggal di Tumpat, Kelantan. Pendapatannya kurang RM3,000 sebulan untuk isi rumah 7 orang. Katanya, pada hari tertentu, hendak dapat RM200 pun tidak mudah.
“Duit BR1M ini macam-macam boleh buat, boleh buat modal berniaga, buat bayar anak sekolah, buat makan-makan dan beli barang keperluan asas.
“Tapi tiga empat hari dah habis dah.”
Wan Mahesham Wan Mahmud, 37, tinggal di Pasir Puteh, Kelantan. Dia melakukan pelbagai kerja; sebulan pendapatannya tidak sampai RM3,000.
“Saya terima RM1,200 setahun (BR1M). Saya guna untuk beli barang kegunaan harian dan bawa keluarga makan.
“Ok saja dapat BR1M tapi kalau tambah duit lagi elok sebab barang sekarang mahal.”
Mohamad Sayuti Ayob, 31, bujang, menetap di Tumpat, Kelantan. Pendapatannya tidak stabil kerana buat kerja kampung.
“Duit BR1M habis guna beli barang dapur.”
Nasree Ismail, 30, posmen, dari Kuala Lumpur. Gajinya RM1,200 sebulan untuk makan pakai tiga beranak, isteri dan anak lelakinya berumur 2 tahun.
“Kalau dapat duit BR1M, saya akan beli barang-barang untuk keperluan macam barang dapur dan (lampin pakai buang) Pampers untuk anak. Tapi bulan itu sajalah rasa ringan beban. Bulan-bulan lain tu sama saja.
“Cuma bulan lain tu kadang-kadang kena berjimat sangat bila ada waktu yang lari bajet.
“Jadi agak membantulah juga BR1M ni. Barang keperluan boleh beli untuk bertahan sampai dua bulan. Masa itulah boleh belikan baju atau kasut baru untuk anak.”
Tajul Ariffin Mohd Tahir, 54, posmen kanan, dari Kuala Lumpur. Gajinya RM2,200 sebulan untuk tampung tiga sekeluarga termasuk isteri dan anak perempuan berumur 11 tahun.
“Kegunaan duit BR1M ni tengok bila dapat. Kalau awal tahun macam Februari selalunya akan selesaikan hal sekolah anak dulu misalnya duit tuisyen anak (RM140), yuran PIBG sekolah (RM90), yuran pengawas (RM50), yuran sekolah agama (RM100).
“Apa saja yang tinggal? Nak cakap sangat membantu tak juga, tapi sangat membantu pada bulan-bulan yang kita banyak pakai duit. Contohnya, pada awal tahun, waktu nak dekat raya.”
Danial Syukri, 25, eksekutif syarikat, dari Selangor. Berpendapatan RM1,950, masih bujang dan tinggal bersama keluarga dengan isi rumah 4 orang.
“Saya gunakan BR1M untuk berhibur, seperti keluar dengan kawan-kawan atau makan di restoran mewah seperti The Manhattan Fish Market; restoran yang biasanya saya tidak pergi.
“Saya tidak ada tanggungan, saya tinggal bersama ayah dan adik beradik dan saya masih belum berkahwin. Jadi BR1M ni umpama bonus pada saya.
“Gaji saya pun sudah cukup untuk apa yang saya perlukan, saya ada simpanan bulanan, jadi duit lebih dari BR1M saya akan gunakan untuk perkara yang saya biasanya tidak belanjakan.
“Kalau saya tidak dapat (BR1M), saya masih boleh keluar dengan kawan-kawan tapi perlu hadkan perbelanjaan dan tengok mana tempat yang nak pergi. Duit lebih biasanya membolehkan saya kerap makan di luar.
Nor Farah Wahida Adnan, 35, pembantu tadbir, dari Selangor. Berpendapatan RM1,000 sebulan dan tinggal bersama 6 orang isi rumah, empat daripadanya adalah kanak-kanak.
“Duit BR1M saya gunakan untuk bayar cukai jalan dan untuk servis kereta. Kami juga gunakan sedikit untuk beli barang keperluan dapur, jadi duit BR1M saya akan gunakan untuk kereta. Kami bayar cukai jalan pada Jun, jadi boleh simpan duit yang kami dapat pada Februari untuk tujuan itu.
“Kalau tak dapat BR1M, kami guna duit simpanan untuk bayar cukai jalan dan servis kereta.
“Adakah ia membantu? Saya tak rasa perbezaannya sebab duit itu kami terima berperingkat.”
Dalia Tahir, 51, balu dan suri rumah, dari Selangor. Beliau tinggal bersama seorang anak perempuan dan anak lelaki yang bekerja dengan gaji RM2,000 sebulan.
“Dapat beli barang keperluan rumah saja, barang basah dan kering. Nak cakap banyak sangat tak juga sebab kami sekeluarga belanja untuk barang keperluan sebulan pun dah RM500.
“Adalah membantu sikit tapi tak adalah berbeza sangat pun kalau dapat BR1M dengan tak dapat. Cuma kalau orang dah nak bagi duit, siapa tak nak?”
Mohamad Abdullah, 57, peneroka Felda dari Felda Tembangau 1, Pahang.
“Duit BR1M ini akan bercampur sekali dalam akaun bank dengan duit hasil sawit. Habis beli barang. Tapi dapat BR1M ini pun tak membantu sepenuhnya. Tak ada rasa berbeza kerana nilai kecil sangat dah dia bagi kita.
Amri Abdul Halim, 23, belajar dan bekerja separuh masa. Tinggal di Air Putih, Kuantan, Pahang.
“Bergantung apa keperluan pada masa itu. Tahun lepas saya beli barang keperluan harian dan isi kad prabayar telefon. Kalau ada lebih saya buat beli barang seperti aksesori telefon atau buat tugasan dan belajar.”
Azlan Jamhari, 40, penjual pisang goreng di Bentong, Pahang. Ada tiga anak, semua masih bersekolah.
“Saya dapat BR1M RM1,200 setahun. Ya, memang membantu tetapi bukannya untuk jangka panjang. Kalau dikira-kira duitnya jatuh RM100 sebulan. Saya beri tiga orang anak duit belanja sekolah pun RM3 sehari, habis semuanya (duit BR1M).
“Kalau kerajaan hendak bantu menangani kos sara hidup yang meningkat, buatlah sesuatu dengan harga minyak, harga barang, pisang, tepung.
“Sebelum saya buka gerai ini, saya pernah ada bisnes kain. Tetapi kemudian kerajaan laksanakan GST dan bisnes saya jatuh, jatuh, jatuh sampai saya terpaksa tutup.
“Saya tak tahu apa saya akan buat kalau tak ada BR1M. Tetapi ada pun tak ada banyak bezanya sebab masalah sebenarnya tak juga selesai.”

Razaki Yusof (gambar, kanan) 56, bekerja sendiri dan tinggal di kampung nelayan Tanjung Lumpur, Kuantan. Pendapatan tidak tetapnya digunakan untuk menyara isteri yang tidak bekerja dan seorang anak yang baru tamat Tingkatan 5. Lima lagi anaknya sudah bekerja dan memberikan elaun bulanan.
“Saya beri duit BR1M kepada isteri dan dia gunakan untuk beli makanan. Duit tu memang kurangkan beban kewangan kami tapi ia tidak mencukupi. Kami perlu bergantung kepada anak-anak yang sudah bekerja.”

Mohd Afiq Abdul Khalid (gambar, kiri), 26, penyelia keselamatan di kawasan perindustrian Gebeng dan tinggal di Tanah Putih Kuantan, Pahang. Berpendapatan RM3,000 sebulan dan masih bujang.
“Perbelanjaan bulanan saya dalam RM1,500 hingga RM1,700 sebulan termasuk bayaran ansuran kereta dan pinjaman PTPTN. Saya mampu simpan beberapa ratus sebulan.
“BR1M tak penting sangat untuk saya tetapi sebab layak, saya mohon.
“Saya belum tentukan nak guna untuk apa duit ni, mungkin untuk minyak kereta atau belanja makan harian.”
Ghani, 65, pesara bekas kakitangan Kementerian Pertahanan. Tinggal di Kuantan bersama isterinya. Duit pencennya RM2,000 sebulan. Isterinya, juga pesara kerajaan, dapat pencen RM1,500 sebulan.
“Duit BR1M ini saya hendak bayar bil elektrik, gas dan air. Semuanya mahal sekarang. Bila tak ada dapat BR1M, kita kena jimat cermat dan kurangkan belanja makan.”
Rozita Mohamad, 43, balu. Tinggal di Kampung Gelugor, Kuala Terengganu. Pendapatannya RM1,500 sebulan dengan membuat dan menjual kuih untuk menyara tiga anak. Dia dapat juga sedikit bantuan kewangan daripada adik beradiknya.

“BR1M yang dulu, RM400, saya belanjakan RM300 untuk bayar yuran sekolah anak lelaki umur 14 tahun yang belajar di sekolah tahfiz. Selebihnya, saya buat belanja dapur.”
“Yang akan datang ini mungkin saya akan buat belanja persiapan anak saya yang akan kahwin bulan Mac nanti.”
Imah Mohamad, 32, suri rumah dari Kuala Terengganu. Dia dan tiga anaknya berumur 5, 3, dan 1 disara oleh suami, seorang pemandu bas yang pendapatannya RM2,000 sebulan.
“BR1M yang dahulu saya habiskan untuk belanja dapur sahaja, tetapi kali ini nampaknya akan habis kepada bayar bil elektrik… ada lebih RM300 tunggakan, tak sempat nak bayar.
“Selebihnya mungkin buat beli barang dapur, gula, susu, ikan dan lain-lain.”
E.K. Low, 55, kerani dari Air Itam, Pulau Pinang. Berpendapatan RM1,500 sebulan dan menanggung lima sekeluarga, termasuk tiga anak.
“Memandangkan sekolah baru buka, saya belanjakan bayaran pertama BR1M untuk sekolah dan buku rujukan untuk anak-anak. Saya belanjakan beberapa ratus untuk buku itu. Ia tidak murah, terutamanya buku sekolah menengah untuk dua anak saya yang lebih tua.
“Anak kami perlu belajar sendiri sebab saya tak mampu nak hantar kelas tuisyen. Isteri saya suri rumah. Dia uruskan rumah dan bantu anak-anak belajar dan buat kerja sekolah di rumah.
“Memandangkan Tahun Baru Cina tak lama lagi, saya rasa duit BR1M saya akan belanja untuk perayaan.
“Saya tak rasa boleh simpan untuk kecemasan. Tapi ada yang boleh simpan buat masa ini.”
K. Murulitharan, 36, tinggal di Padang Tembak, Pulau Pinang dan tidak bekerja sejak terbabit dalam kemalangan di tempat kerja lima tahun lalu. Isterinya bekerja sebagai operator kilang dengan pendapatan RM1,300 sebulan menanggung keluarga dengan tiga orang isi rumah termasuk anak perempuan mereka berusia lima tahun.
“BR1M ini adalah untuk anak perempuan saya. Keperluannya akan didahulukan. Duit itu akan bayar yuran taska, RM150 sebulan, dan untuk susu tepung dan lampin. Kami masih belum berjaya latihnya untuk gunakan tandas.
“Selebihnya akan digunakan untuk keperluan rumah. Ia tidak cukup dengan kos sara hidup sekarang. RM10 sukar untuk belanja makan harian. Susu tepung anak saya berharga RM46 sekotak.
“Isteri saya gaji kecil. Saya ada tuntutan Socso. Kami cuba gandakan wang itu, tapi dengan BR1M, kami dapat ketepikan wang untuk anak kami.”
Norma Hashim, 59, penjual kuih dan nasi lemak di Komtar, George Town, Pulau Pinang. Pendapatannya tidak tetap dan kadangkala hanya mendapat RM1,000 sebulan untuk bantu sara keluarga yang terdiri daripada 6 orang termasuk suami, anak lelaki, menantu perempuan dan dua cucunya.
“Duit BR1M yang dibayar berperingkat itu jumlahnya kecil. RM400 akan habis dalam sehari. Lebih baik ia dibayar sekali gus, atau jika kerajaan mampu berikan lebih lagi.
“Tapi ia masih sedikit sebanyak membantu dengan kos sara hidup tinggi sekarang. Barangan makanan semakin mahal. Harga bawang naik daripada RM2 lebih hingga RM5. Minyak masak juga makin mahal sekarang.
“Saya akan gunakan duit itu beli keperluan untuk perniagaan sebagai pendapatan tambahan. Mungkin saya boleh beli perkakas memasak baru untk gantikan yang lama. Tanpa duit itu, saya terpaksa tangguhkan pembelian ini.”

Safrina Irda Sahruddin (gambar, kanan) , 35, suri rumah dengan empat anak. Tinggal di Kampar, Perak. Suaminya pemandu lori dengan gaji kurang RM2,000 sebulan.
“Saya memang kalau dapat BR1M akan gunakan untuk beli barang dapur dan bagi belanja sekolah anak-anak. Duit sekolah anak pagi dan petang seorang saja sudah RM5. Anak saya empat. Di kawasan kampung dekat Kampar, sekolah agak jauh jadi saya berulang hantar anak ke sekolah naik motor.
“Kalau tiada BR1M belanja sekolah anak kurang sikit. Kalau ada BR1M suami tak adalah penat sangat kerja lebih masa cari duit.
“Saya harap siapa sahaja menang, Pakatan atau BN, kena teruskan BR1M sebab orang susah macam kami perlukan.”
Abdul Rahman Najib, 40, bekerja sebagai pembantu kedai sementara isterinya Siti Rahimah, 35, bekerja di warung di Petagas. Sabah. Pendapatan bulanan mereka lebih kurang RM950.
“Duit BR1M tidak akan bertahan lebih sebulan. Kebanyakannya untuk beli barangan dapur untuk dua bulan. Tak banyak yang boleh dibuat dnegan duit sebegitu di sini.
“Semuanya mahal di Kota Kinabalu. Saya perlu bekerja keras untuk hidup. Nasib baik isteri saya boleh menjaga anak-anak sementara buka warung.
“Anak saya Darjah Lima minta saya untuk tidak belikan beg sekolah baru untuknya. Tapi mungkin saya perlu belikan kasut baru bulan depan kerana kasut lamanya dan rosak. Jadi BR1M mungkin akan bantu saya beli kasut baru untuknya.”
Iskandar Rejab, 43, pekerja kontrak tinggal di Sembulan, Kota Kinabalu bersama isterinya Noorfadzilah Ahmad yang merupakan eksekutif perniagaan. Pendapatan RM2,800 sebulan membantu mereka menyara hidup mereka dan dua anak.
“Memandangkan barangan keperluan sekolah anak sudah lengkap, kami akan gunakan bantuan kewangan itu untuk jelaskan hutang tertunggak, pinjaman peribadi kira-kira RM200. Bakinya saya akan guna untuk bawa anak-anak keluar untuk makan KFC atau belanja lain selepas itu.”
Jason Marcus, 36, pengawal keselamatan dari Inanam, Sabah. Pendapatan bulanannya RM2,000 sebulan menyara keluarga terdiri daripada isterinya Theresa John, 32 dan empat anaknya.
“BR1M tidak banyak. Saya mungkin akan bawa keluarga keluar dan belanjakannya. Makan di luar untuk kami mungkin RM100, petrol RM50 yang akan bertahan tiga hari, makanan untuk anak-anak RM50 dan beberapa perkara lain.
“Saya rasa kerajaan perlu bagi bantuan kewangan ini pada hujung tahun ketika ibu bapa amat memerlukan wang untuk membeli barangan keperluan sekolah anak-anak.”

Hilda John (gambar, kanan), 45, suri rumah di Kuching, Sarawak, tinggal bersama seorang anak perempuan remaja dan suaminya yang lumpuh dari pinggang ke bawah. Keluarga ini bergantung kepada wang kebajikan.
“BR1M akan digunakan untuk bayar bil. Tidak ada apa yang tinggal untuk perkara lain. Saya harap bayaran ini dibuat secara tetap.”

Poni Abu Bakar (gambar, bawah), 76, balu yang tiada pendapatan tinggal di Miri, Sarawak. Dia tinggal bersama anak lelakinya yang memberikan sedikit duit, anak menantunya, 4 orang cucu dan ibu mertua anaknya.
“Anak saya berikan duit poket setiap bulan tapi tidak lebih RM200. Jadi BR1M ni macam wang poket tambahan. Saya akan belanjakan untuk diri saya, seperti keluar bersama kawan-kawan minum kopi, dan belanja cucu.
“Saya akan katakan, ya, BR1M membantu. Tapi itulah, berapa banyak yang kamu boleh belanja dengan beberapa ratus sekarang ini? Barang sangat mahal.”
Chng Lee Tiang, 56, bekerja di rumah jagaan warga emas dan tinggal di Seremban, Negeri Sembilan dengan suaminya. Pendapatan isi rumah dengan bantuan suaminya yang juga mekanik bebas dan tukang paip kurang daripada RM3,000.
“Saya akan simpan duit BR1M di bank. Saya hanya akan keluarkan jika perlu, lebih baik ia di simpan. Memandangkan Tahun Baru Cina sudah hampir, kami akan belanjakannya untuk belikan perhiasan, biskut dan makanan.
“Kalau tak ada BR1M, kami kurangkan perbelanjaan. Kami bayar cukai, jadi adalah baik untuk ada duit poket lebih, yang mana kerajaan bayar balik. Barangan semakin mahal sekarang, saya rasa sangat susah, jadi tidak betul untuk katakan wang itu tidak penting, ia memang membantu. Tapi kami tidak perlukannya dalam erti kata lain kami bergantung kepadanya untuk hidup.”
Hairani Halim, 57, surirumah di Masjid Tanah, Melaka. Dia disara dengan wang pencen suaminya serta mendapat kiriman daripada anak-anak. Dia juga dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas hilang pekerjaan sebagai penjual pisang goreng, serta ibu jarinya kerana kencing manis.
“Saya pendapatan tak banyak. Anak-anak bagi bulan-bulan RM500. Saya ada dapat bantuan JKM RM300. Duit BR1M memang saya pakai untuk belanja dapur.
“Harga barang pun dah mahal. Di Melaka ini pun pergi pasar bukannya murah. Kena pandai berbelanja. Mujur suami saya ada duit pencen juga.”
“Kalau tiada BR1M, saya tiada masalah sangat sebab anak-anak bagi duit. Suami ada pencen. Tapi kalau ada BR1M sedaplah sikit lauk saya nak masak. Ikan sekarang mahal betul.” – 1 Februari, 2018.
Komen