
KALI pertama Mohd Zaki Kassim tidak mengundi Barisan Nasional (BN) ialah pada 1999 selepas pemecatan dan pemenjaraan timbalan perdana menteri pada masa itu, Anwar Ibrahim.
“Saya sangat marah pada Dr Mahathir Mohamad atas apa dia buat terhadap Anwar,” kata pesara berusia 67 tahun itu ketika menjelaskan kenapa dia buang rasa bencinya terhadap Dr Mahathir sekarang.
“Saya fikir ia kerana saya boleh nampak beliau betul-betul berusaha untuk membetulkan kesilapannya pada usia 92 tahun,” kata bekas ahli PAS itu yang menetap di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Selepas pilihan raya umum (PRU) 1999, Zaki terus mengundi pembangkang di kawasannya di Segambut. Kerusi Parlimen itu dipegang Tan Kee Kwong daripada BN yang kemudian menyertai PKR dari 1995-2008 sebelum Lim Lip Eng daripada DAP menang kerusi itu pada 2008.
“Selepas 1999, sudah jadi tabiat untuk tidak mengundi BN kerana saya masih marah dengan kerajaan. 2004 kurang sikit tetapi 2008 dan 2013 lebih marah sebab isu rasuah,” katanya, menyentuh tentang bumbung stadium Terengganu yang runtuh pada 2013.
Katanya, tiada tindakan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Bagi PRU tahun ini, bekas pegawai Perbadanan Pembangunan Bandar itu berkata kemarahannya terhadap kerajaan bertambah teruk.
Cukai barangan dan perkhidmatan, kos sara hidup yang tinggi, kenaikan harga minyak setiap minggu dan skandal yang terpalit pada Felda dan 1Malaysia Development Bhd semakin menambah rasa kebenciannya terhadap kerajaan.
Zaki kini ahli Amanah.
Lebih banyak sebab untuk marah
Ada banyak lagi sebab untuk pengundi marah dengan kerajaan pada PRU kali ini berbanding 2013, kata pensyarah Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi.
“GST, harga barang mahal, isu integriti, pelaburan China, janji PRU13 yang tidak ditepati ditambah dengan pemecatan Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir, antara alasan tambahan yang membuatkan pengundi sekarang marah.”

Awang Azman, yang berasal dari Sarawak berkata kelompok paling terjejas ialah kumpulan B40 (pendapatan isi rumah kurang RM3,860) dan golongan dewasa muda yang bekerja.
“Walaupun ada BR1M untuk B40, ia hanya seperti beri Panadol kepada pesakit kritikal. Walaupun sesetengah bersyukur dengan bantuan diterima, lebih ramai percaya kerajaan patut buat lebih baik lagi.
“Golongan belia pula marah kerana mereka tidak dapat cari pekerjaan setaraf kelayakan.
“Dan kumpulan ketiga pengundi yang akan marah ialah M40 (RM3,860-RM8,319) yang tidak dapat BR1M atau perumahan PR1MA tetapi terpaksa duduk di bandar dengan dihimpit hutang pinjaman kereta dan rumah serta kos sara hidup tinggi, kata Awang Azman.
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata kemarahan lebih terasa dalam kalangan pengundi lebih berusia dan akar umbi Umno di Johor.
“Ahli Umno beritahu saya mereka sudah bosan dengan parti itu sementara mereka yang lebih berusia bimbang dengan kos sara hidup semakin tinggi. Topik yang sering dibangkitkan ialah GST, 1MDB, Felda dan rasuah.
“Walaupun pembangkang menjelaskan isu itu sejak bertahun lamanya, baru kini ia mula terkesan kerana Pakatan Harapan sekarang bersama Dr Mahathir dan Muhyiddin.”
Tetapi tidak seperti 1999 di mana kemarahan terhadap kerajaan tergambar menerusi bantahan dan protes jalanan, Salahuddin berkata kali ini ia “gelombang senyap”.
“Saya boleh nampak sekarang kerana jemputan daripada kumpulan berkaitan Umno untuk pertemuan sembang-sembang hampir setiap hari. Sangat berbeza daripada 2013,” katanya yang bertanding di Pulai, Johor pada PRU13 tetapi tewas.
Ke mana kemarahan itu dibawa?
Pada 1999, ketika Zaki tidak mengundi BN untuk kali pertama sejak menjadi pengundi berdaftar pada 1974, beliau menyalahkan Dr Mahathir atas apa yang berlaku kepada Anwar.
“Saya benci dia ketika itu,” kata Zaki.
Dan walaupun dia tidak marah terhadap Abdullah Ahmad Badawi pada 2004, dia tetap mengundi pembangkang.
Kali ini, kemarahan terhadap BN ditujukan kepada Perdana Menteri Najib Razak.
“Semua masalah kita hari ini disebabkan dia. Petrol turun dua sen minggu ini tetapi ia sudah pun naik sampai 10 sen sejak beberapa minggu lalu,” kata Zaki. – 9 Februari, 2018.
Baca berita penuh di sini.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan