Ada peniaga Melayu ‘gulung tikar’, ‘tutup kedai’ disebabkan GST


Amin Iskandar

Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Norsyahrin Hamidon bagaimanapun berkata, mereka masih belum mempunyai angka sebenar berapa ramai ahli-ahli mereka yang terpaksa menamatkan perniagaan disebabkan GST. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2017.

CUKAI Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mula diperkenalkan Putrajaya pada April 2015 menjejaskan peniaga-peniaga Melayu sehingga menyebabkan mereka “gulung tikar” dan “tutup kedai”, kata Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) hari ini.

Naib Presiden DPMM Norsyahrin Hamidon bagaimanapun berkata, mereka masih belum mempunyai angka sebenar berapa ramai ahli-ahli mereka yang terpaksa menamatkan perniagaan disebabkan GST.

“Ada ahli yang terjejas disebabkan GST, bukan setakat terjejas, ada juga ahli yang gulung tikar, yang tutup kedai,” kata Norsyahrin pada satu sidang media di Ibu Pejabat DPMM di Kuala Lumpur hari ini.

“DPMM kita ada kita punya research center, kita memang bersama-sama dengan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) sedang membuat analisa tentang kesan GST kepada usahawan Malaysia, khususnya usahawan Melayu yang menjadi ahli kita.”

Menurut laporan siri pertama Ketua Audit Negara 2016, pendapatan melalui GST barangan tempatan menunjukkan peningkatan pada 85% daripada RM14 bilion pada 2015 kepada RM25.97 bilion. 

Cukai GST ke atas barangan import pula mencatatkan kenaikan 17% daripada RM12.9 bilion kepada RM15.2 bilion. 

Bagaimanapun Norsyahrin berkata, GST diperkenalkan tepat pada masanya dan dapat membantu Putrajaya menampung pendapatan yang hilang kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Tetapi seperti yang kita ketahui GST jugak datang tepat pada masanya bila ekonomi kita tak berapa elok dan pendapatan kerajaan dari Petronas berkurang, GST menampung kekurangan itu.

“Secara keseluruhan memang GST telah digunakan di seluruh dunia mungkin hanya beberapa negara sahaja yang belum perkenalkan GST,” katanya.

Disebabkan itu menjelang Bajet 2018 yang akan dibentangkan pada 27 Oktober depan, DPMM berkata Putrajaya boleh membantu meringankan beban dengan menstrukturkan semula penalti cukai pendapatan yang dikenakan kepada peniaga-peniaga di seluruh negara.

Norsyahrin berkata, peniaga-peniaga tidak boleh lari dari tiga agensi seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Setiap tahun kita perlu menganggarkan dan hantar kita punya anggaran cukai setahun lebih awal dan seterusnya kita diminta untuk membayar secara ansuran.

“Jadi di situ timbul masalah jugaklah pada usahawan kerana jika pada hujung tahun itu kita punya anggaran cukai berbeza jauh, lebih daripada 30% anggaran yang kita sudah buat, maka kita akan dikenakan penalti 10%,” katanya.

Selain itu DPMM juga menggesa LHDN agar melakukan “pemutihan” terhadap peniaga yang sudah lama tidak membayar cukai.

“Mungkin sudah 5 tahun, 10 tahun, mereka ini lari dari membayar cukai. Mungkin kesedaran itu timbul sekarang dan disebabkan penalti-penalti yang tinggi, membuatkan mereka dari hari ke hari merasakan sangat membebankan.

“Mereka ingin membayar cukai. Tetapi takut dengan penalti yang tinggi. Pemutihan yang kita cadangkan ini membuatkan pembayar-pembayar cukai ini dapat tampil membayar cukai,” katanya.

Katanya, langkah ini akan dapat menambahkan pendapatan negara dan dapat menambah pengakalan data LHDN.

“Ianya juga dapat membantu usahawan-usahawan ini kerana seperti yang kita tahu, apabila seseorang itu tidak membayar cukai, mereka tidak dapat membuat permohonan pinjaman di bank,” katanya.
 
Norsyahrin juga menggesa Putrajaya menyalurkan dana atau bantuan diberikan kepada usahawan Melayu atau disalurkan terus kepada DPMM untuk terlibat dengan Digital Free Trade Zone.

“Kita di DPMM dapat menyalurkan bantuan khusus dalam big data dan digital free trade zone kerana semua perniagaan jugak memang sudah digital.

“Kita tidak boleh lari. Usahawan-usahawan Melayu tidak boleh ketinggalan,” katanya.

Norsyahrin berkata, DPMM mempunyai 15 pejabat di seluruh negara dan akan melakukan tapisan dan memastikan dana yang diberikan kerajaan khususnya untuk ekonomi digital dapat disalurkan terus kepada usahawan-usahawan Melayu.

“DPMM mengharapkan semoga Bajet 2018 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Najib Razak tidak berapa lama lagi dapat meringankan beban usahawan-usahawan Melayu khususnya,” katanya. – 20 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen