Tsunami pelbagai kaum akan berlaku pada PRU14, kata Shafie


Jason Santos

PRESIDEN Warisan Shafie Apdal menjangkakan gelombang kedua “tsunami” di Sabah pada pilihan raya akan datang, percaya kali ini ia tidak lagi datang dari orang Cina.

Katanya, Barisan Nasional (BN) di Sabah akan berdepan asakan baru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dan kali ini ia akan datang daripada pelbagai kaum disebabkan kehadiran Warisan, sebuah parti pelbagai kaum.

“Sebelum ini tidak ada parti pelbagai kaum untuk menentang Umno di Sabah, tetapi pengundi ada Warisan sekarang. Pengundi hanya ada PKR sebelum ini, sebuah parti pelbagai kaum tapi berpangkalan di Semenanjung Malaysia. Kemudian anda ada DAP dan parti-parti lain.

“Tetapi Warisan terdiri daripada pelbagai kaum, timbalan dan naib presidennya adalah orang Kadazandusun Murut, ada juga orang Bajau dan Cina dan saya yakin ini adalah perbezaan sekarang.

“Jadi gelombang baru yang sudah dimulakan oleh Pakatan Harapan dan kini ditambah oleh Warisan adalah kuasa itu, akan ada gelombang baru di Sabah,” katanya.

Tsunami Cina dikeluarkan oleh Perdana Menteri Najib Razak susulan keputusan PRU13 pada 2013, apabila BN kalah hampir semua kerusi bandar atau majoriti Cina kepada pembangkang.

Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, Warisan sekali lagi menegaskan yang mereka adalah parti pelbagai kaum dan menggunakan idea “Bangsa Sabah” untuk menyatukan semua kaum negeri itu.

Apabila ditanya tentang dakwaan “Sabah Tulen” dibuat terhadapnya oleh Menteri Luar Anifah Aman, beliau menjawab: “Mereka mulakannya. Kami tak mulakan.”

Menurutnya, jelas termaktub dalam enakmen negeri kumpulan etnik dan Bajau adalah salah satu daripadanya.

“Bagaimana kenyataan itu boleh keluar daripada seorang menteri yang saya orang luar. Ia tak patut jadi,” katanya.

14 Februari lalu, Warisan membuat laporan polis terhadap Anifah tentang kenyataan terhadap Shafie yang didakwa perkauman pada 9 Februari di majlis Tahun Baru Cina di Kimanis. Anifah adalah ahli Parlimen Kimanis.

Sebuah laporan polis yang lain juga dibuat Setiausaha Politik Anifah Jihek Basanu pada 20 Februari dengan beberapa pemimpin Umno tampil mengatakan kenyataan Anifah diputar belit Warisan. – 24 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • boleh harap ke warisan ni? aku tak yakin yang warisan ni boleh diharapkan. parti pelbagai kaum katanya. dalam BN tu pun terdiri daripada pelbagai kaum juga. apa yang membezakan warisan dengan BN? papepun, kita tunggu je pru14. kita tengok, warisan boleh go ke tak boleh go.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan